WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MACRON SIFATKAN SITUASI DI GAZA SEBAGAI "TRAGEDI KEMANUSIAAN YANG MENGERIKAN"

14/05/2025 05:45 PM

PARIS, 14 Mei (Bernama-WAFA) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Selasa menyifatkan situasi di Semenanjung Gaza sebagai “tragedi kemanusiaan yang mengerikan dan tidak boleh diterima,” dan menuntut agar ia segera dihentikan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) yang memetik laporan media tempatan.

Dalam temu bual bersama saluran televisyen TF1, Macron dilihat tersentuh selepas menonton video seorang doktor kecemasan yang menggambarkan keadaan tragik di Gaza.

“Tiada air, tiada ubat, mangsa yang cedera tidak dapat dipindahkan: apa yang dilakukan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu adalah sesuatu yang memalukan,” katanya.

Macron turut menggesa agar tekanan dikenakan ke atas Israel dan perjanjian perkongsian negara itu dengan Kesatuan Eropah disemak semula.

Ketika ditanya wartawan Gilles Bouleaux berhubung penggunaan istilah “pembunuhan beramai-ramai,” Macron menegaskan bahawa beliau memilih untuk berwaspada: “Bukan peranan ahli politik untuk menggunakan istilah itu; ia harus ditentukan oleh ahli sejarah pada waktu yang sesuai.”

Sementara itu, Duta Besar Perancis ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jerome Bonnafont mengecam rancangan peluasan operasi Israel di Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa Perancis menolak mekanisme agihan bantuan yang dicadangkan oleh Israel dan menggesa agar halangan terhadap bekalan bantuan kemanusiaan serta kerja-kerja pasukan bantuan di Gaza segera dihentikan.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan