WILAYAH - TENGAH > BERITA

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TANGGUH KEPUTUSAN RAYUAN AKHIR KES MORAIS

14/05/2025 05:36 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan terhadap rayuan akhir enam individu yang disabitkan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata pihaknya memerlukan masa sebelum membuat keputusan terhadap rayuan itu dan akan menetapkan tarikh pengumuman keputusan kemudian.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang.

Panel menyambung semula pendengaran rayuan yang difailkan bekas pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 62, pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandran, 54, dan empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 33, A.K Thinesh Kumar, 32, M. Vishwanath, 35, dan S. Nimalan, 32.

Prosiding hari ini susulan perbicaraan yang diadakan pada 13 Mac dan 23 April lepas.

Keenam-enam lelaki itu didapati bersalah atas pembunuhan Morais dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.

Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka pada 14 Mac tahun lepas dan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut. Mereka kemudiannya merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Mayat Morais, 55, ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept 2015. 

Pembunuhan berlaku di satu lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.

Morais kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya. 

Sementara itu dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim menggesa mahkamah menolak hujah peguam Nimalan untuk menerima pakai prinsip dua jenayah (dual crime principle) yang diguna pakai di Singapura.

Beliau berkata prinsip yang diguna pakai dalam kes warga Singapura Daniel Vijay Katherasan (2010) dan Azlin Bte Arjunah (2022) tidak diguna pakai di mahkamah Malaysia.

Beliau berkata penerimaan prinsip itu akan menyukarkan lagi pembuktian jenayah yang dilakukan oleh kumpulan dan boleh mengakibatkan pesalah terlepas hukuman.

Yusaini berkata terdapat bukti forensik yang mengaitkan Nimalan dengan jenayah itu dan Nimalan juga telah memberikan maklumat yang membawa kepada penemuan dram mengandungi mayat mangsa.

Beliau berkata beg plastik yang dijumpai pada kenderaan Triton dipandu Nimalan didapati mengandungi DNA mangsa manakala sehelai baju-T mengandungi DNA Nimalan, Ravi Chandran dan si mati.

“Berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan, kami berhujah bahawa tertuduh keenam (Nimalan) jelas bertindak untuk meneruskan niat bersama untuk melakukan pembunuhan itu,” kata Yusaini.

Peguam mewakili Nimalan, Amer Hamzah Arshad pula menggesa mahkamah untuk mempertimbangkan prinsip dua jenayah.

Beliau berkata bukti menunjukkan perbincangan yang diadakan sehari sebelum kejadian hanya membincangkan mengenai penculikan Morais dan bukan membunuhnya.

Amer Hamzah berkata anak guamnya tidak sepatutnya didakwa atas tuduhan membunuh sebaliknya dia hanya perlu didakwa atas tuduhan menculik atau melupuskan bukti.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan