PETALING JAYA, 14 Mei (Bernama) -- Pengendali berpengalaman dari Brazil Joel Cornelli dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Suraya Yaacob dalam sidang media di Wisma FAM di sini hari ini yang turut dihadiri Cornelli.
Suraya berkata jurulatih berusia 58 tahun itu akan memulakan tugas secara rasmi hujung bulan ini, menggantikan Soleen Al-Zoubi yang kini berperanan sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM.
"Kami amat mengalu-alukan kehadiran Cornelli dan saya percaya beliau dapat membawa pendekatan baharu terutama menjelang aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan bulan depan.
"Beliau akan mula bekerja dengan barisan pemain pada kem latihan pusat Malayan Tigress yang dijadualkan hujung Mei. Dengan sokongan padu barisan kejurulatihan serta FAM, saya percaya kita mampu mencipta kejutan," katanya.
Suraya berkata sasaran awal ditetapkan kepada Cornelli agar skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu memberi saingan hebat dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dan mara ke separuh akhir Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Sementara itu Cornelli, yang memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, berbesar hati diberikan kepercayaan mengemudi Malayan Tigress, lebih-lebih lagi bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe dari 23 Jun hingga 5 Julai ini.
"Saya percaya skuad ini mempunyai potensi dengan beberapa pemain dilihat mempunyai kualiti tinggi. Kami mempunyai satu bulan setengah (sebelum Kelayakan Piala Asia Wanita 2026), jadi saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk membentuk pasukan," katanya pada sidang media berkenaan.
Antara pencapaiannya sewaktu menjadi jurulatih adalah membimbing kelab Indonesia, Arema FC menjuarai Piala Presiden 2024 selain membantu kelab bola sepak wanita Jordan, Etihad Club menjuarai Liga Pro Wanita Jordan 2023 dan Piala Juara-juara Arab Saudi 2023.
Bagi kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Korea Utara, Palestin dan tuan rumah, Tajikistan dengan hanya juara kumpulan layak ke Piala Asia Wanita 2026 di Australia dari 1-21 Mac 2026.
Sementara itu, Soleen berkata pelantikan Cornelli membantunya menumpukan aspek pembangunan menyeluruh bola sepak wanita negara, khususnya pembangunan belia, pendidikan jurulatih, program-program pembangunan dan perancangan teknikal jangka panjang.
Dalam pada itu, FAM dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 27 pemain dipanggil Cornelli bagi menyertai fasa pertama kem latihan pusat bermula Rabu depan.
Kem latihan pusat berkenaan diadakan bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Thimphu, Bhutan menentang Hong Kong 31 Mei ini diikuti pasukan tuan rumah pada 3 Jun menjelang kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Berikut merupakan senarai 27 pemain dipanggil ke kem latihan pusat pertama kendalian Cornelli:
No |
Nama |
Umur |
Kelab |
1. |
Daliea Eliesa Mohd Hafiz |
17 |
Selangor FC |
2. |
Dian Aqilah Mohammed Imran |
18 |
Selangor FC |
3. |
Eusvewana Kadius |
20 |
Selangor FC |
4. |
Nur Adrienna Zamzaihiri |
21 |
Selangor FC |
5. |
Nur Ainsyah Murad |
22 |
Selangor FC |
6. |
Nur Amirah Abdul Rahman |
21 |
Selangor FC |
7. |
Nur Ezza Ashikin Abdul Razak |
22 |
Selangor FC |
8. |
Nur Lyana Soberi |
26 |
Selangor FC |
9. |
Nurfarisya Hanim Muhamad Zaki |
21 |
Selangor FC |
10. |
Azzlyeanieh Kinuli |
20 |
Sabah FA |
11. |
Jaciah Jumilis |
34 |
Sabah FA |
12. |
Juliana Barek |
23 |
Sabah FA |
13. |
Nurul Azurin Mazlan |
25 |
Sabah FA |
14. |
Rocillyeka Lole |
17 |
Sabah FA |
15. |
Siti Nurfaizah Saidin |
23 |
Sabah FA |
16. |
Farahiyah Muhamad Ridzuan |
32 |
Kelana United FC |
17. |
Intan Sarah Anisah Zulgafli |
26 |
Kelana United FC |
18. |
Nur Dhiyaa Addin Mohd Azhari |
19 |
Kelana United FC |
19. |
Steffi Sarge Kaur |
37 |
Kelana United FC |
20. |
Ayuna Anjani Lamsin |
22 |
Malaysian University FT |
21. |
Nur Syafiqah Zainal Abidin |
24 |
Malaysian University FT |
22. |
Nurfazira Muhamad Sani |
24 |
Malaysian University FT |
23. |
Putri Arissa Balqis Ab Lah |
25 |
Malaysian University FT |
24. |
Nurhadfina Mohd Firdaus |
21 |
Sekolah Sukan Malaysia Pahang |
25. |
S. Thivashini |
19 |
Sekolah Sukan Malaysia Pahang |
26. |
Nur Laila Syamila A Rahim |
15 |
SSS Leopard FC |
27. |
Kanchenjeet Kaur Nanua |
19 |
Miami Dades Sharks (Amerika Syarikat) |
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial