WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIGNATURE ALLIANCE SASAR KUMPUL RM161.2 JUTA MELALUI IPO

14/05/2025 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Firma pemasangan dalaman Signature Alliance Group Bhd (SAG) mahu mengumpulkan sebanyak RM161.2 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia BHD pada 5 Jun depan.

IPO itu melibatkan pengeluaran 260 juta saham baharu pada harga terbitan 62 sen sesaham.

Daripada hasil tersebut, sejumlah RM88 juta (54.6 peratus) akan digunakan untuk mendirikan sebuah pejabat korporat serta kemudahan pengeluaran baharu di Selangor bagi meningkatkan automasi dan penyampaian projek, manakala RM30.1 juta (18.7 peratus) diperuntukkan untuk modal kerja dalam menyokong projek-projek pemasangan dalamannya.

Bakinya pula akan dipakai untuk membayar pinjaman bank (RM20 juta), menubuhkan pejabat cawangan di Pulau Pinang dan Johor (RM12 juta), memperoleh jentera dan peralatan (RM4 juta) serta perbelanjaan penyenaraian (RM7.1 juta).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Darren Chang berkata pengembangan itu amat diperlukan disebabkan kilang-kilang sedia ada syarikat di Bandar Baru Bangi dan Puchong tidak lagi mampu untuk menyokong peningkatan operasi.

"Salah satu matlamat utama kami adalah untuk memusatkan operasi pejabat kami memandangkan kami tidak mempunyai ruang yang cukup. 

"Dana yang dikumpulkan akan membolehkan kami menyatukan semua kakitangan di bawah satu bumbung, memperluaskan kemudahan pengeluaran kami selain melabur dalam jentera baru untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran," katanya semasa sidang media yang diadakan bersempena dengan pelancaran prospektus syarikat.

Walaupun terdapat prestasi yang kurang baik dari beberapa kemunculan kali pertama di Pasaran ACE baru-baru ini yang berpunca daripada keadaan pasaran yang mencabar, syarikat itu yakin dengan keupayaannya untuk memberikan hasil yang kukuh. 

Dalam satu kenyataan yang berasingan, syarikat itu menjelaskan bahawa untuk tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2021 hingga 31 Disember 2024 dan sehingga 16 April 2025, SAG telah menyelesaikan 624 projek pemasangan dalaman yang bernilai RM391.6 juta.

"Setakat 16 April tahun ini, syarikat mempunyai 69 projek yang sedang berjalan dengan jumlah nilai kontrak sebanyak RM902.4 juta dan nilai kontrak yang belum dibilkan mencecah RM388.6 juta atau 43.1 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.

IPO itu dibuka untuk langganan mulai hari ini hingga 21 Mei 2025.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama, sementara Affin Hwang Investment Bank Bhd adalah penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama untuk IPO berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan