MOSCOW, 14 Mei (Bernama-TASS) -- Presiden Rusia Vladimir Putin dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu, lapor agensi berita TASS.
Menurut perkhidmatan akhbar Kremlin, kedua-dua pemimpin akan membincangkan bidang utama kerjasama dua hala, khususnya dalam politik, perdagangan dan ekonomi. Mereka turut dijangka merangka langkah seterusnya untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Putin dan Anwar juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dan serantau yang mendesak.
Kedua-dua pemimpin kali terakhir bertemu pada September 2024 di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) di Vladivostok.
Rusia dan Malaysia berkongsi pendirian serupa dalam pelbagai isu serantau dan global.
Kedua-dua negara aktif bekerjasama menerusi platform seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Malaysia secara rasmi menjadi negara rakan BRICS pada Januari 2025.
Ketika ini, Rusia dan Malaysia telah memeterai 20 perjanjian kerjasama.
Menurut Duta Besar Rusia ke Malaysia Nail Latypov, jumlah dagangan dua hala mencecah kira-kira US$2.5 bilion pada akhir 2024.
Eksport utama Rusia ke Malaysia merangkumi mineral mentah, minyak dan produk kimia, manakala eksport Malaysia ke Rusia termasuk getah, jentera dan barangan pertanian.
-- BERNAMA-TASS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial