Masalah keluarga yang kerap kali mencetuskan pertengkaran antara ibu dan ayah, ditambah kerenggangan hubungan dengan ibu, membuatkan Fatiha (bukan nama sebenar) mengalami kemurungan yang teruk ketika berusia 12 tahun.
Dia menjadi pendiam, kerap menangis selain berasakan dirinya tidak berguna yang kemuncaknya membuatkan dia sanggup mencederakan diri sendiri dengan mengelar pergelangan tangan.
Perubahan sikap remaja yang kini berusia 13 tahun itu dikesan oleh seorang guru prihatin yang mula memberi perhatian dengan mendengar masalah yang dihadapi pelajar tingkatan satu berkenaan, dan akhirnya membawa Fatiha bertemu pakar psikiatri.
Seawal janji temu pertama, didapati risiko Fatiha mencederakan diri sangat tinggi, menyebabkan dia dimasukkan ke dalam wad untuk menjalani rawatan dan pemantauan rapi.
Kes itu antara yang dikendalikan oleh Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan Klinik Psikiatri Kanak-Kanak & Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia Dr Ruziana Masiran.
Berkongsi kisah itu dengan Bernama, beliau berkata kini, selepas Fatiha mengikuti enam sesi terapi keluarga bersama-sama dengan ibunya, mereka mula belajar cara berkomunikasi dengan lebih terbuka dan saling memahami.
"Sekarang hubungan anak dan ibu menjadi lebih rapat, si remaja mula ceria semula dan perlahan-lahan menunjukkan pencapaian akademik dan kokurikulum yang membanggakan ibunya.
“Di peringkat awal, dia memerlukan ubat-ubatan, namun kini tidak lagi. Sekarang remaja itu hanya mengikuti sesi janji temu susulan di klinik,” kata Dr Ruziana ketika ditemui baru-baru ini.
KECENDERUNGAN
Mengungkapkan situasi yang berlaku dewasa ini, Dr Ruziana berkata di Malaysia, isu kesihatan mental dalam kalangan remaja semakin diterima sebagai satu kebimbangan kesihatan awam.
Menurut beliau, jika dibandingkan remaja zaman dahulu dan sekarang, terdapat fenomena unik yang menyebabkan para remaja masa kini lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental.
pic-2
"Apabila melihat kesan pascapandemik COVID-19, tidak dapat kita nafikan (isu kesihatan mental remaja itu). Pengasingan diri semasa fasa perintah berkurung sekitar 2020 hingga 2021 membawa kepada penutupan sekolah dan tekanan kewangan keluarga yang sedikit-sebanyak mencetuskan isu kesihatan mental yang berlarutan hingga hari ini.
“Proses pengasingan ini juga telah mengakibatkan mereka terlepas fasa perkembangan sosial yang amat kritikal dalam kehidupan seorang remaja," katanya.
Pakar itu berkata media digital dan sosial merupakan pengaruh utama dalam kehidupan kelompok itu, mengheret mereka untuk sentiasa saling berhubung tanpa sempadan masa dan tempat, seterusnya membawa kepada kebimbangan “takut terlepas” ataupun “fear of missing out” (FOMO) serta buli siber.
"Remaja senantiasa melihat skrin (peranti pintar) yang berlebihan dan ini menjejaskan kualiti tidur, selain membuatkan dia membandingkan diri dengan orang lain yang seterusnya berisiko merendahkan harga diri serta imej penampilan dan bentuk tubuh badan.
“Gaya hidup digital yang berleluasa mengehadkan interaksi sosial kehidupan sebenar yang penting untuk perkembangan emosi remaja," katanya.
Ditanya tentang faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental remaja hari ini, Dr Ruziana berkata terdapat beberapa penyebab termasuk faktor biologi, kerana di peringkat remaja otak masih belum cukup matang, terutamanya di bahagian korteks prefrontal yang berkaitan dengan kawalan emosi dan membuat keputusan.
"Selain itu, dari sudut sosial, remaja melalui pelbagai cabaran kehidupan seharian sama ada di rumah atau di sekolah. Di sekolah mereka menghadapi tekanan akademik, peperiksaan, keletihan dan perbandingan dengan rakan sebaya. Ada sebahagian remaja yang menjadi mangsa buli secara fizikal ataupun emosi.
"Dari segi kekeluargaan, kekurangan sokongan emosi atau komunikasi yang lemah dengan ibu bapa dan keluarga menjadi penyumbang besar kepada kelemahan mental dan emosi remaja. Ramai remaja yang mengalami tanda-tanda kemurungan atau kebimbangan akibat masalah keluarga," katanya
Beliau berkata konflik keluarga seperti perceraian, penderaan, pengabaian dan ibu bapa yang mengalami masalah mental boleh menjejaskan mental seseorang remaja jika tidak ditangani dengan baik.
KAJIAN
Menurut Dr Ruziana, berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) serta beberapa penyelidikan tempatan, terdapat corak yang dikaitkan dengan prevalens penyakit mental yang tinggi dalam kalangan remaja.
"NHMS 2022 mendapati satu daripada empat remaja berumur 13 hingga 17 tahun dilaporkan mengalami simptom kemurungan, kebimbangan atau tekanan. Dalam kalangan remaja ini, kajian tersebut mendapati tempoh peralihan antara sekolah menengah rendah dan atas amat berisiko tinggi.
“Remaja yang berasa rendah harga diri mempunyai kawalan emosi yang lemah, mangsa buli (bersemuka atau dalam talian), ada masalah pembelajaran, menghidap penyakit kronik atau kecacatan fizikal lebih berisiko," katanya.
Beliau berkata menerusi kajian itu, remaja dengan ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan mental, ibu bapa tunggal, konflik perkahwinan atau keganasan rumah tangga yang berterusan, dilihat lebih banyak mengalami masalah kesihatan mental.
"Ibu bapa yang tidak stabil emosi, murung, cemas atau agresif boleh menjejaskan perkembangan emosi anak. Remaja yang tidak berasa selamat di rumah tidak akan sudi berkongsi masalah dengan ibu bapa atau ahli keluarga lain, menyebabkan mereka lebih cenderung memendam perasaan, berasa sunyi dan putus asa.
"Dari segi ekonomi, terdapat kajian menunjukkan bahawa keluarga berpendapatan rendah (kumpulan B40) tiada akses yang baik kepada penjagaan kesihatan mental. Selain itu, tahap pendidikan ibu bapa yang rendah dikaitkan dengan kekurangan kesedaran tentang keperluan emosi dan komunikasi dalam kalangan ahli keluarga," katanya, menambah masalah kesihatan mental didapati lebih tinggi dalam kalangan remaja perempuan.
Selain itu kata Dr Ruziana, faktor persekitaran turut memainkan peranan dengan remaja yang tinggal di kawasan bandar didapati lebih berisiko mengalami tekanan emosi disebabkan oleh tuntutan akademik lebih berat, pendedahan kepada skrin dan media sosial yang lebih tinggi selain kurang aktiviti fizikal.
KEBERGANTUNGAN PADA UBAT
Kebiasaannya seseorang pesakit mental bergantung pada ubat-ubatan untuk merawat penyakit mereka, termasuk golongan remaja, namun Dr Ruziana berpendapat sudah tiba masa kebergantungan pada ubat itu dikurangkan.
pic-4
Mengulas lanjut, beliau berkata konsep perawatan dalam bidang psikiatri haruslah melibatkan pendekatan yang komprehensif dan menyentuh seluruh kehidupan seseorang pesakit.
"Umum harus faham bahawa remaja yang mengalami masalah kesihatan mental tidak semestinya perlu makan ubat semata-mata kecuali jika keadaan mereka benar-benar memerlukan.
“Pakar psikiatri akan melihat aspek lain yang penting dalam kehidupan remaja seperti cara ibu bapa mendidik, hubungan dalam keluarga dan suasana di sekolah. Semua ini memberi kesan besar kepada emosi dan tingkah laku remaja," katanya.
Sehubungan itu, Dr Ruziana berkata masyarakat dan keluarga di Malaysia khususnya, perlu mengubah persepsi ubat sebagai satu-satunya penawar penyakit mental.
"Kadangkala ubat-ubatan boleh membantu, tetapi bukan ubat sahaja yang boleh pulihkan emosi dan tingkah laku anak-anak. Banyak keluarga yang sudah mula nampak perubahan besar selepas mengikuti sesi terapi keluarga. Ramai remaja yang sukar mengawal emosi mereka mengalami perubahan positif selepas menghadiri beberapa sesi terapi keluarga.
"Sebagai bonus, ibu bapa mula memahami tekanan yang anak mereka hadapi dan hubungan mereka menjadi lebih rapat, menunjukkan bahawa apabila keluarga bekerjasama banyak masalah boleh diselesaikan secara harmoni tanpa bergantung sepenuhnya pada ubat," katanya.
PERLUNYA TERAPI KELUARGA
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr Ruziana berkata sudah tiba masanya konsep terapi keluarga dijadikan alternatif terbaik bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Malaysia kata Dr Ruziana, perlu memperkukuh peranan terapi keluarga dalam sistem kesihatan awam kerana banyak masalah kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja, berpunca daripada tekanan dalam hubungan kekeluargaan.
"Ramai remaja sebenarnya memerlukan sokongan daripada ahli keluarga yang memahami, bukan hanya rawatan secara individu. Di negara seperti Malaysia, nilai kekeluargaan sangat penting. Pendekatan ini lebih sesuai dan berkesan dalam jangka panjang.
"Dengan memperkukuh terapi keluarga, kita bukan sahaja merawat satu pesakit remaja tetapi juga memperkuatkan lagi institusi keluarga (pesakit). Memperkukuh terapi keluarga dalam sistem kesihatan negara turut selari dengan visi Malaysia MADANI kerana ia membantu membina hubungan kekeluargaan yang sihat, menyokong kesejahteraan mental remaja dan menguatkan struktur sosial masyarakat secara keseluruhan," katanya.
pic-3
Beliau berkata terapi keluarga memainkan peranan penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mental kerana pendekatan itu melibatkan seluruh keluarga dalam satu sesi untuk memahami dan menyokong remaja tersebut.
"Walaupun hanya seorang anak remaja yang mengalami tanda-tanda penyakit mental - selalunya kemurungan - kebimbangan atau kemarahan remaja ini biasanya berkait rapat dengan tekanan di rumah, salah komunikasi atau konflik keluarga.
"Dalam terapi keluarga, setiap ahli keluarga memiliki peluang belajar untuk mendengar dengan lebih baik, meluahkan perasaan dengan cara yang lebih sihat dan menyelesaikan masalah sebagai satu pasukan. Pendekatan ini juga membantu ibu bapa atau adik-beradik remaja berkenaan memahami apa yang dialaminya," kata beliau.
Berhubung bentuk terapi kekeluargaan, Dr Ruziana berkata sesi berkenaan dijalankan antara enam dan 12 sesi dengan kekerapan setiap satu atau dua minggu.
"Sesi boleh dihadiri datuk, nenek, ibu atau bapa saudara. Yang paling ideal ialah apabila sesi dihadiri oleh semua ahli keluarga. Namun begitu terdapat keluarga yang mungkin memerlukan lebih banyak sesi. Dalam sesi ini, keluarga belajar kaedah berkomunikasi dengan lebih baik, menyokong antara satu sama lain dan menangani tekanan secara bersama.
"Terapi biasanya bermula dengan sesi pengenalan diikuti dengan penilaian, intervensi dan ia akan ditamatkan apabila perubahan positif berlaku. Matlamat utama sesi terapi keluarga ialah untuk menguatkan hubungan kekeluargaan dan mewujudkan suasana rumah yang lebih harmoni," katanya.
"Apabila kita membantu seorang anak, kita tidak boleh mengabaikan faktor-faktor lain di rumah mereka termasuk peranan ibu bapa, cara mereka berkomunikasi, memarahi, menyayangi serta cara remaja itu diberi perhatian,” katanya yang berharap lebih ramai pakar terapi keluarga dilahirkan, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan kekuatan keluarga.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial