WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TENGKU ZAFRUL DI KOREA SELATAN HADIRI MESYUARAT MRT APEC, PERKUKUH PLATFORM DAGANGAN PELBAGAI HALA

14/05/2025 09:39 AM

Daripada Muhammad Muzammil Abdullah

JEJU (Korea Selatan), 14 Mei (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengetuai delegasi Malaysia ke Jeju, Korea Selatan untuk menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) kali ke-31.

Mesyuarat MRT APEC berlangsung selama dua hari, bermula 15 Mei, berlangsung pada kedudukan kritikal akibat ketidaktentuan ekonomi global yang berlanjutan, rundingan tarif berterusan dengan Amerika Syarikat (AS) oleh pelbagai negara, halangan rentas sempadan dan landskap ekonomi yang berkembang pesat.

Memfokuskan pada bidang keutamaan negara tuan rumah, iaitu kecerdasan buatan (AI) dan cabaran demografi, negara anggota APEC juga dijangka menyatakan semula kepentingan sistem perdagangan pelbagai hala yang kukuh dan inklusif.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum lawatan kerja ke Jeju itu berkata berdasarkan cabaran perdagangan global semasa, Malaysia akan menggunakan platform APEC untuk mengesahkan komitmen kukuhnya terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang telus dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.

Ia adalah seiring dengan keutamaan tematik Korea Selatan: Ketersambungan melalui Sistem Perdagangan Pelbagai Hala, Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) untuk Perdagangan dan Kemakmuran melalui Perdagangan Mampan, kata MITI.

Sementara itu, pada Selasa, Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan dan Kumpulan Pakar Pelaburan telah berkata bahawa negara anggota APEC telah menyatakan sokongan kolektif untuk Perjanjian Kemudahan Pelaburan untuk Pembangunan (IFD), menyeru penyepaduannya ke dalam rangka kerja perundangan WTO.

Perjanjian itu bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, memperkemas prosedur dan mewujudkan persekitaran yang boleh dijangka untuk pelabur terutamanya bagi negara membangun.

Mesyuarat di Jeju semasa Mesyuarat Pegawai Kanan APEC kali kedua dan Mesyuarat Berkaitan, Jawatankuasa mengeluarkan kenyataan bersama menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam Perjanjian IFD dan penggabungannya ke dalam rangka kerja undang-undang WTO.

“Perjanjian IFD mempunyai potensi besar untuk memperbaiki iklim pelaburan dan perniagaan di seluruh dunia, mengurangkan kos pelaburan dan memudahkan pelabur dalam semua sektor untuk beroperasi, berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan APEC Christopher Tan.

“Memasukkan Perjanjian IFD ke dalam rangka kerja WTO akan menjadi langkah besar ke depan untuk perdagangan dan pelaburan global dan ia juga kemenangan bagi rantau ini,” katanya.

Beliau berkata Perjanjian IFD akan menyumbang kepada matlamat Wawasan Putrajaya 2040 untuk menyampaikan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang telus dan boleh dijangka di rantau Asia Pasifik dan seterusnya meningkatkan minat rantau ini untuk menarik dan mengekalkan pelaburan.

"Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota APEC bagi memastikan kemampanan, inovasi dan perdagangan terbuka memperkukuh dan bermanfaat kepada semua ekonomi, ketika rantau ini beralih kepada Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan, inklusif dan bersedia untuk masa depan," kata Tengku Zafrul.

Di luar MRT, Tengku Zafrul dijangka bertemu dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer dan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala.

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan Inkyo Cheong untuk membincangkan lebih lanjut Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara.

Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk menyambung semula rundingan FTA pada Mac 2024.

Selain itu, beliau juga dijadual bertemu Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell dan Menteri Luar Jepun Takumi Miyaji.

Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) turut akan berlangsung di luar mesyuarat MRT.

Mesyuarat MRT APEC ke-31 akan dipengerusikan oleh Inkyo Cheong dari Korea Selatan dan sebagai tuan rumah APEC 2025, Korea Selatan telah memilih tema  "Membina Masa Depan Mampan: Ketersambungan. Berinovasi. Maju".

APEC adalah forum antara kerajaan untuk 21 negara anggota di Lingkungan Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik, mewakili hampir 40 peratus daripada penduduk dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC, lain-lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993 dan seterusnya Chile pada 1994 manakala Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998 yang jumlah keanggotaan penuh kepada 21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan