WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMANDU LORI NAHAS ANGGOTA FRU ADA ENAM REKOD JENAYAH LAMPAU - KP PERAK

13/05/2025 08:12 PM

TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) -- Pemandu lori membawa muatan batu kerikil yang terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampam, di sini hari ini mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan narkotik.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 45 tahun itu juga mempunyai pengalaman sebagai pemandu lori selama kira-kira 20 tahun.

"Semakan terhadap rekod saman trafik individu terbabit masih dijalankan," katanya kepada media selepas hadir ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak  ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata pemandu terbabit tidak cedera dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya hasil saringan awal air kencing pemandu itu menunjukkan keputusan negatif dadah.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi  itu, sebuah lori membawa batu kerikil merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.

Kemalangan ngeri itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, dua parah manakala tujuh lagi mengalami kecederaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan