Daripada Amirudin Ahmad
RIYADH, 13 Mei (Bernama) -- Lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke beberapa negara Teluk dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, serta memperkukuh peranan AS dalam aspek keselamatan di rantau Timur Tengah.
Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata pemilihan Arab Saudi sebagai destinasi pertama lawatan selepas memulakan penggal keduanya pada Januari lalu memberikan isyarat jelas kepentingan Riyadh kepada Washington ketika AS terus diasak dengan kemelut geopolitik global.
Trump juga katanya, melihat Arab Saudi sebagai sekutu utama AS di rantau Timur Tengah yang berupaya memberi jaminan pelaburan yang kukuh kepada negara itu.
"Jadi penggal kedua Trump ini, Trump memerlukan jaminan pelaburan tinggi daripada Arab Saudi. Kita dapat lihat bagaimana kerajaan Arab Saudi yang diketuai oleh Mohammed bin Salman ini telah pun berjanji untuk meningkatkan pelaburan di AS sehingga US$1 trilion dalam tempoh 4 hingga 5 tahun akan datang.
“Jadi ini dilihat sebagai penting bagi Trump untuk meraih pulangan jaminan pelaburan ataupun pulangan pelaburan modal Arab Saudi dan juga beliau bertindak sebagai situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak," katanya kepada Bernama.
Jelas Chong, Arab Saudi turut melihat lawatan itu sebagai peluang terbaik kepada Riyadh untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mendapatkan sokongan strategik daripada Washingon, termasuk dalam sektor pertahanan.
"Jadi Riyadh juga memerlukan sokongan AS untuk membangunkan program tenaga nuklear awam walaupun ada juga kemelut yang melanda atas dasar Riyadh ingin membangunkan pengurusan uranium secara domestik namun ia tidak disukai oleh Washington disebabkan risiko akan datang,” katanya.
Media antarabangsa pada Isnin melaporkan Trump dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman selain menghadiri mesyuarat bersama pemimpin negara Teluk serta wakil industri teknologi dan perniagaan sehingga 16 Mei.
Tokoh perniagaan ternama seperti Elon Musk juga dijangka menghadiri Forum Pelaburan Arab Saudi-AS yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei.
Mengulas lanjut, Chong berkata lawatan Trump ke Arab Saudi juga bakal memberikan satu rancangan baharu yang jelas ke arah perdamaian global termasuk di Gaza, serta menyatakan sokongan terhadap pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
“Ini juga memberikan mesej yang positif kepada pelaku serantau bahawa dasar American First di bawah Trump ini tidak hanya berkisar kepada menjaga kepentingan negara itu semata-mata.
“Ia juga untuk mencerminkan hasrat sebenar atau hasrat komprehensif Trump ke arah perdamaian sedunia termasuk mencari langkah penyelesaian konflik di seluruh dunia termasuk di Ukraine, di Timur Tengah melibatkan Gaza dan juga rantau lain.”
Bagaimanapun katanya, harapan untuk melihat perubahan besar dalam dasar luar AS terhadap Gaza perlu dilihat secara realistik.
“Tapi kita tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi apakah mungkin adanya perubahan besar-besaran atau skop dimensi usaha atau polisi AS dalam rantau ini terutama melibatkan penyelesaian konflik di Gaza.
“Cuma apa yang kita dapat lihat cerminan ke arah gencatan senjata atau pelan damai jangka panjang bagi Gaza ini yang melibatkan juga usaha sama serantau,” katanya.
Tambah Chong, dengan kembalinya Trump sebagai Presiden AS, kedua-dua pemimpin cuba untuk menggunakan kesempatan ini untuk memperbaiki semula hubungan Riyadh-Washington berdasarkan legasi “persahabatan lama” yang telah terjalin di bawah pentadbiran Trump 1.0 dan menjadikan Washington sebagai kuasa utama dalam menjamin keselamatan dan pertahanan Riyadh.
Lawatan empat hari Trump yang turut merangkumi persinggahan di Doha, Qatar dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyerupai kunjungan sulung antarabangsa beliau pada 2017 yang turut menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi pertama.
Arab Saudi sebelum ini menyatakan komitmen untuk melabur US$600 bilion di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun, selain bersetuju membeli senjata dari Washington bernilai US$3.5 bilion pada awal tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial