WILAYAH - SELATAN > BERITA

KARNIVAL "MALAYSIA MIDNIGHT SALES" MERIAHKAN MELAKA, LONJAK PELANCONGAN, EKONOMI TEMPATAN

13/05/2025 06:14 PM

MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Penganjuran Malaysia Midnight Sales Carnival bersempena dengan program Melaka Bila Larut Malam edisi Mei berjaya menarik pengunjung ke negeri ini sekali gus memberi lonjakan kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan secara signifikan.

Penganjur Jalakx Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara berkenaan yang menggabungkan elemen membeli-belah, hiburan dan persembahan kebudayaan memberi impak positif kepada penduduk setempat serta pelancong dari dalam dan luar negara.

"Penganjuran karnival itu menyaksikan peningkatan kadar penginapan hotel serta memberi manfaat besar kepada pelbagai sektor perniagaan, termasuk peniaga kecil, penghibur, pengusaha kraf tangan, pemilik premis makanan dan minuman, pemandu e-hailing serta pengusaha pelancongan.

"Acara pada kali ini turut mendapat sambutan daripada pelancong domestik dan antarabangsa, khususnya dari Singapura dan Indonesia, yang mengambil peluang untuk berbelanja sambil bercuti," katanya di sini hari ini.

Karnival jualan itu turut menawarkan Special Sale Moment dari pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, iaitu pembeli yang berbelanja minimum RM250 berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM20,000.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan acara antaranya penampilan khas penyanyi rock Datuk Awie dan Yasser Atak, cabutan bertuah, persembahan seni dan budaya, pertandingan mewarna dan melukis, pertunjukan silap mata, permainan tradisional, serta pelbagai aktiviti interaktif keluarga.

"Kita juga merakam penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja dan penyokong yang menjayakan penganjuran kali ini, dan Malaysia Midnight Sales Carnival ini dijangka kembali pada tahun hadapan dengan penganjuran yang lebih besar dan lebih menarik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan