WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TRUMP MULAKAN LAWATAN PERTAMA PENGGAL KEDUA DI RIYADH, FOKUS PELABURAN, HUBUNGAN TELUK

13/05/2025 04:20 PM

Daripada Amirudin Ahmad

RIYADH, 13 Mei (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, tiba di Riyadh, Arab Saudi hari ini bagi lawatan antarabangsa pertamanya sejak kembali ke Rumah Putih untuk penggal kedua pada Januari.

Beliau menaiki pesawat rasmi Air Force One yang mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada 9.50 pagi waktu tempatan.

Menurut laporan media antarabangsa, lawatan itu memberi tumpuan kepada Forum Pelaburan Arab Saudi-AS, sebuah acara eksklusif atas jemputan yang dijadual berlangsung di Riyadh lewat hari ini.

Forum berkenaan dijangka mengukuhkan kerjasama strategik antara sektor swasta kedua-dua negara, khususnya dalam bidang tenaga, teknologi dan pertahanan.

Trump juga dijadual menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin Teluk pada 14 Mei sebelum meneruskan lawatan ke Doha, Qatar, pada hari yang sama.

Beliau dijangka menamatkan lawatan rasmi luar negara pertamanya bagi penggal kedua di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 15 Mei.

Sementara itu, lawatan ini turut dijangka merangkumi perbincangan mengenai pelbagai isu antarabangsa, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza, kerjasama keselamatan serantau dan ketegangan geopolitik yang lebih luas di Timur Tengah.

Pemilihan Riyadh sebagai destinasi pertama, diikuti Doha dan Abu Dhabi, mengimbau langkah simbolik Trump pada 2017 apabila beliau memilih Arab Saudi sebagai lokasi pertama lawatan luar negaranya semasa penggal pertama sebagai Presiden AS.

Sekali lagi, pemilihan Arab Saudi sebagai destinasi utama pada penggal kedua menekankan kepentingan berterusan hubungan dua hala antara Washington dan Riyadh, khususnya dalam menangani cabaran keselamatan global dan kepentingan ekonomi bersama.

Terdahulu, semasa penggal pertamanya di Rumah Putih, Trump memecah tradisi presiden AS sebelum ini yang lazimnya mengunjungi United Kingdom terlebih dahulu, dengan memilih Arab Saudi sebagai destinasi asing pertama beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan