WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WE2025 SASAR JANA POTENSI PERDAGANGAN, PELABURAN BERNILAI RM100 JUTA - QUBE

13/05/2025 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Ekspo “WE2025: Future in Motion -- Women in Trade. Leadership. Investment.”, yang akan diadakan dari 25 hingga 27 Nov, 2025, menyasar untuk menjana potensi perdagangan dan peluang pelaburan bernilai RM100 juta, menurut Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutif Qube Richard Teo berkata inisiatif utama oleh pihaknya, dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah usaha sama yang menyatukan kerajaan, perniagaan dan komuniti untuk mencetuskan inovasi dan memacu pertumbuhan inklusif.

“Peranan kami adalah untuk membolehkan pertumbuhan menerusi langkah kerjasama dengan kalangan kementerian dan rakan strategik untuk memastikan perusahaan yang diterajui wanita mendapat ruang, keterlihatan dan sokongan yang mereka perlukan.

“Ini termasuk akses kepada pembeli dan pelabur, kemasukan ke pasaran baharu, dan laluan sebenar untuk pengembangan perniagaan,” katanya semasa pelancaran awal ekspo itu di sini, hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Qube menjelaskan “WE” bermaksud “Women’s Economics, Empowerment, Women Entrepreneurship, Women Excellence and Women Evolution”. (Ekonomi Wanita, Pemerkasaan, Keusahawanan Wanita, Keunggulan Wanita dan Evolusi Wanita).

Semua itu mencerminkan tanggungjawab kolektif untuk memajukan peluang yang lebih besar untuk wanita, tambahnya.

Ekso itu akan menampilkan empat komponen utama iaitu WE dalam Persidangan Kepimpinan, WE dalam Pameran Perdagangan, WE dalam Pertukaran dan WE dalam Dialog.

WE dalam Persidangan Kepimpinan adalah forum untuk kepimpinan transformatif, penggubalan dasar dan inovasi, manakala WE dalam Pameran Perdagangan adalah ekspo meriah yang menonjolkan perniagaan yang diterajui wanita dan dipacu impak daripada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik serta inovasi digital kepada pelancongan dan seni, kesihatan dan kesejahteraan, makanan dan minuman serta lain-lain.

Dalam kenyataan berasingan, Qube menjelaskan WE dalam Pertukaran adalah padanan perniagaan yang dipilih susun untuk memangkin peluang perkongsian dan perdagangan, manakala WE dalam Dialog akan mengetengahkan kelas master, kumpulan bimbingan dan acara rangkaian untuk perkongsian pengetahuan serta pembelajaran antara rakan setara.

“WE2025 juga sejajar dengan matlamat Dasar Wanita Negara 2025, terutama dalam memperluas penyertaan ekonomi kalangan wanita, menggalakkan kepimpinan inklusif dan memartabatkan perusahaan mikro, wanita luar bandar dan orang kurang upaya,” menurutnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk menyokong wanita dan memperkasakan kemahiran mereka.

“Inisiatif seperti ini dijalankan bukan sahaja untuk memberi inspirasi malah juga untuk memberi maklum balas mengenai cara kita menyokong wanita melalui rangkaian, membolehkan mereka bekerjasama dan berhubung,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran awal itu.

Beliau berkata inisiatif itu diharap dapat menyokong wanita bukan sahaja dari segi penyertaan ekonomi malah juga dalam industri yang kekurangan penglibatan wanita.

WE2025 selama tiga hari di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dijangka menghimpunkan lebih 10,000 peserta, 1,000 perwakilan persidangan dan 500 reruai pameran.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah rakan media rasmi WE2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan