WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDIA, PAKISTAN SETUJU LAKSANA GENCATAN SENJATA SELEPAS SALING BERBALAS SERANGAN

11/05/2025 12:44 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 10 Mei (Bernama) – India dan Pakistan bersetuju melaksanakan satu gencatan senjata pada Sabtu selepas tentera kedua-dua pihak saling berbalas serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendedahkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan "gencatan senjata sepenuhnya serta-merta" hasil usaha perantaraan yang diketuai AS bagi menamatkan ketegangan.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau dan Naib Presiden JD Vance telah berhubung dengan pegawai kanan India dan Pakistan, termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan Shehbaz Sharif, Ketua Tentera Pakistan Jeneral Syed Asim Munir, serta penasihat keselamatan negara Ajit Kumar Doval dan Leftenan Jeneral Muhammad Asim Malik.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan India dan Pakistan telah bersetuju untuk menghentikan serangan serta-merta dan memulakan rundingan mengenai pelbagai isu di lokasi berkecuali,” kata Rubio.

“Kami menghargai kebijaksanaan, ketelitian dan kepimpinan Perdana Menteri Modi dan Sharif dalam memilih jalan damai,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar turut mengesahkan menerusi hantaran di platform X bahawa satu gencatan senjata telah dicapai.

“Pakistan sentiasa berusaha mewujudkan keamanan dan keselamatan serantau tanpa menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayahnya,” kata Dar.

“India dan Pakistan hari ini mencapai persefahaman untuk menghentikan serangan dan tindakan ketenteraan,” kata Jaishankar.

Perkembangan ini berlaku selepas ketegangan dan konfrontasi selama beberapa minggu yang hampir mencetuskan peperangan berskala penuh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan