WILAYAH - UTARA > BERITA

OP TUTUP SAMSENG JALANAN BERSEPADU: 98 MOTOSIKAL DISITA

10/05/2025 11:21 PM

BUKIT MERTAJAM, 10 Mei (Bernama) -- Polis menyita 98 motosikal dalam Op Tutup Samseng Jalanan Bersepadu yang dijalankan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bermula dari bulatan Seberang Jaya hingga ke Sama Gagah, di sini awal pagi tadi.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dalam kenyataan malam ini memaklumkan operasi itu bertjuan membanteras kegiatan samseng jalanan mat rempit yang sering menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi berhimpun dan berlumba haram.

“Dalam operasi itu sebanyak 350 motosikal telah diperiksa dan 245 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan, polis turut menahan sembilan orang di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.

“Dalam operasi itu juga polis telah mengesan beberapa kumpulan remaja yang berkumpul di tepi lebuh raya untuk menyaksikan perlumbaan motosikal dan memandangkan kegiatan berkenaan berlaku pada cuti hujung minggu, ia menyebabkan kegusaran kepada pengguna lain,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu antara perbuatan berbahaya dilakukan termasuk berlumba dengan kelajuan tinggi, menunggang secara melawan arus, menunggang secara zig zag serta membuat bunyi bising dengan ekzos yang diubah suai sehingga boleh membahayakan diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPT, Balai Polis Seberang Jaya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Kontijen Pulau Pinang, Unit Peronda Lebuhraya (EMPV) Bukit Aman dan Polis Bantuan Plus.

Polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan bersama serta menegaskan operasi tersebut akan diteruskan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan