WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG KEMUNCAK ASEAN PENTAS STRATEGIK TANGANI PERUBAHAN LANDSKAP PERDAGANGAN GLOBAL

10/05/2025 07:48 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dijangka menjadi pentas strategik bagi rantau ini menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan global, dengan para akademik memberikan pelbagai pandangan mengenai kesan tindakan tarif terbaharu Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan kerjasama ASEAN dengan blok ekonomi baharu muncul.

Menurut Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sidang kemuncak itu boleh menjadi medan penting bagi ASEAN menyelaras respons terhadap ketidaktentuan dasar perdagangan AS, di samping memperkukuh hubungan dengan blok seperti BRICS, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Tarif era Trump pada 2018 memberi kesan jangka pendek kepada Malaysia, terutama dari segi sentimen pasaran dan turun naik eksport, namun kembali stabil dalam tempoh sembilan bulan.

“Namun, dengan penggantungan tarif balas AS selama 90 hari ketika ini, ketidaktentuan masih kekal. Sebarang peningkatan ketegangan boleh menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, khususnya dalam sektor berorientasikan eksport,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata prestasi eksport Malaysia ke AS mungkin terkesan sekiranya tarif tersebut diaktifkan semula, namun prospek jangka pendek masih boleh diurus hasil usaha kepelbagaian perdagangan yang sedang berjalan.

Nuradli berkata ASEAN kini perlu memanfaatkan rangka kerja serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan membentuk pendirian bersama.

"Ini adalah mengenai mengurangkan pergantungan berlebihan pada mana-mana pasaran tunggal. ASEAN mempunyai peluang untuk memimpin melalui teladan melalui integrasi serantau yang strategik. Memanfaatkan kedekatan dan perjanjian perdagangan sedia ada akan membantu melindungi negara anggota daripada kejutan luar," katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah Malaysia meningkatkan perdagangan dengan BRICS, GCC dan China bukanlah satu perubahan haluan daripada Barat, sebaliknya strategi kepelbagaian yang diperlukan.

“Dalam dunia multipolar hari ini, hubungan seimbang dengan kuasa Timur dan Barat adalah penting. Kepelbagaian bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan bagi pertumbuhan mampan,” katanya.

Nuradli turut melihat kerjasama ekonomi lebih mendalam antara ASEAN, GCC dan China berpotensi membentuk satu blok perdagangan yang lebih utuh, khususnya apabila sambungan infrastruktur dan logistik semakin baik menerusi inisiatif seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.

“Jika ASEAN dan GCC dapat menyeragamkan piawaian perdagangan dan rangka kerja kawal selia, dan digabungkan dengan skala ekonomi China, terdapat potensi yang kuat untuk mewujudkan pengimbang kepada blok perdagangan berpusatkan Barat,” katanya.

Mengenai kedudukan jangka panjang ASEAN, beliau menegaskan keperluan mengekalkan pendirian berkecuali yang strategik.

Beliau berkata ASEAN harus mengelak daripada terlibat dalam persaingan kuasa besar dan sebaliknya memberi tumpuan kepada menjadi rakan kongsi yang dipercayai dan pragmatik kepada semua, pendekatan seimbang yang mengukuhkan peranan utamanya dalam membentuk diplomasi dan perdagangan serantau.

Sementara itu, pakar dalam Pengajian Asia dari Universiti Tasmania Profesor Dr James Chin memberikan perspektif berbeza dengan menyatakan bahawa tarif balas AS tidak akan memberi kesan besar kepada perdagangan atau ekonomi Malaysia.

“Cukai 24 peratus dan langkah perdagangan lain jelas bertujuan membawa negara kembali ke meja rundingan.

“Setelah perjanjian perdagangan baharu dimeterai, ia mungkin membuka lebih banyak peluang kepada syarikat AS di Malaysia. Saya tidak melihat sebarang kesan jangka panjang - malah perdagangan Malaysia-AS mungkin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Mengulas usaha Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Barat melalui hubungan dengan BRICS, GCC dan China, Chin berkata Malaysia sememangnya mempunyai dasar perdagangan terbuka dan menjalinkan hubungan dengan mana-mana rakan yang bersedia.

“Untuk benar-benar mengurangkan kebergantungan kepada sistem perdagangan yang didominasi Barat, Malaysia perlu mengukuhkan sistem pembayaran dua hala yang tidak bergantung kepada dolar AS. Bukan soal menghentikan perdagangan dengan Barat, tetapi lebih kepada kebijaksanaan dan fleksibiliti,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa meskipun tekanan politik mungkin mendorong ASEAN, GCC dan China untuk bergabung bagi menangani ancaman terhadap perdagangan global, pembentukan satu blok ekonomi bersepadu sepenuhnya masih belum pasti.

“Secara politik, negara mungkin bersatu atas kebimbangan terhadap tokoh seperti Trump. Tetapi sama ada ia membawa kepada blok ekonomi formal masih menjadi tanda tanya,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung akhir bulan ini di Kuala Lumpur bakal menghimpunkan pemimpin utama rantau ini, dengan isu berkaitan ketegangan perdagangan global dan penjajaran semula ekonomi dijangka menjadi fokus utama perbincangan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan menganjurkan beberapa acara penting pada Mei ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan