WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR PEMBINAAN, UITILITI DIJANGKA MENERIMA MANFAAT SELEPAS AS UBAH PERATURAN EKSPORT CIP

10/05/2025 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Sektor pembinaan Malaysia terus menunjukkan perkembangan yang positif selepas disokong pelbagai aliran berita mengenai aktiviti tender-tender pusat data, dengan peningkatan prospeknya terhadap potensi perubahan dalam peraturan penyebaran kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS).

Dilaporkan bahawa pentadbiran Trump merancang untuk membatalkan sekatan eksport era Biden ke atas cip AI termaju di bawah peraturan penyebaran itu. 

Kenanga Investment Bank Bhd berkata saham-saham pembinaan telah mengalami pemulihan yang mantap dan berita positif ini dijangka meningkatkan penarafan mereka. “Sebagai contoh, Pearl Computing - sebuah syarikat afiliasi kepada gergasi teknologi yang berpangkalan di AS telah memeterai perjanjian perolehan tanah seluas 389 ekar dari Gamuda di Port Dickson dengan pelaburan RM1 bilion bagi memulakan kerja-kerja infrastruktur, menandakan langkah penting dalam inisiatif pembangunan pusat data mereka,” katanya melalui satu nota penyelidikan hari ini.

Kenanga ketika mengulas mengenai sektor utiliti berkata sektor ini turut menerima manfaat daripada pengembangan pusat data yang berterusan.

“Satu perkembangan terkini dari Tenaga Nasional Bhd menunjukkan permintaan tenaga adalah amat teguh, dengan 18 projek pusat data berkapasiti 1,900 megawatt telah berjaya disiapkan menjelang Disember 2024. Di samping itu, terdapat 20 lagi projek sedang dirancang, yang dijangka akan menambah 4,000 MW lagi. Lonjakan permintaan ini akan menyokong trajektori pertumbuhan masa depan Tenaga,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan