WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LANTIKAN SEMULA AZAM BAKI PASTIKAN KESINAMBUNGAN AGENDA BANTERAS RASUAH - MCW

10/05/2025 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu keperluan luar jangka yang amat kritikal dalam memastikan kesinambungan agenda pencegahan rasuah di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata dalam suasana semasa yang memperlihatkan isu rasuah semakin mencabar dan bersifat kompleks, kesinambungan kepimpinan di SPRM amat penting untuk mengekalkan momentum siasatan, pendakwaan serta pembudayaan integriti dalam sektor awam dan swasta.

“MCW juga berpandangan bahawa lanjutan tempoh ini membuka ruang penting dalam usaha mewariskan kepimpinan SPRM kepada pelapis masa depan.

“Ia membolehkan tokoh pengganti kelak menimba pengalaman secara langsung, mempelajari selok-belok pengurusan krisis integriti serta memahami tekanan dalaman dan luaran yang datang bersama tanggungjawab besar memimpin agensi penguatkuasaan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan semula Azam bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei ini. 

Sebelum ini Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei ini.

Jais berharap SPRM terus diperkasa dengan sokongan dasar yang tuntas, reformasi pentadbiran yang menyeluruh dan pendekatan strategik berasaskan prinsip integriti, ketelusan serta akauntabiliti.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan