TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) Sabah 2025 di daerah ini menjadi pemangkin kepada pembangunan serta mampu memertingatkan ekonomi kepada masyarakat setempat, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata PMR bukan sahaja mendedahkan penduduk kepada aspek perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan, malah membantu untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
"Apabila program berskala besar seperi ini dapat dibawa ke Tawau, banyak perkara yang telah dinaik taraf terutama dari segi lampu jalan raya… ada juga jalan raya serta infrastruktur lain yang diperbaiki, selain dapat memberi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan di daerah ini serta kawasan berhampiran untuk membuka gerai jualan dan memasarkan produk masing-masing.
"Walaupun PMR hanya berlangsung selama tiga hari, namun manfaat yang diperoleh rakyat tidak terhenti pada penghujung program. Saya berharap semua kementerian dan agensi yang terlibat terus berkhidmat untuk membantu rakyat yang memerlukan pelbagai bimbingan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan khususnya Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kerana memilih Tawau untuk melaksanakan PMR yang buat pertama kalinya dilaksanakan untuk tahun ini.
"Tahun lepas program ini dilaksanakan di Kota Kinabalu dan ramai orang yang berada di pantai timur Sabah tidak berkesempatan untuk hadir kerana jarak yang jauh," tambahnya.
Sehubungan itu, Nizam meminta penduduk di sekitar daerah ini manfaatkan peluang untuk mengunjungi PMR kerana banyak program yang boleh dimanfaatkan termasuk saringan kesihatan.
"Pada masa sama terdapat banyak reruai kementerian persekutuan boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan informasi, begitu juga terdapat reruai perkhidmatan kerajaan negeri dan orang ramai boleh meminta bimbingan untuk segala permasalahan daripada agensi berkaitan.
"PMR sangat bermanfaat kepada masyarakat bandar dan luar bandar kerana membuka ruang kepada rakyat untuk mengenali dan mendapatkan terus perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. Program ini yang menjadi medan interaksi rakyat dengan kerajaan, serta menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar MADANI secara langsung," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial