WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CHANG LIH KANG SAHKAN PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN PKR

09/05/2025 12:48 PM

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Naib Presiden PKR Chang Lih Kang hari ini mengesahkan akan mempertahankan jawatannya dalam Pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028 hujung bulan ini.

Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata proses penamaan calon telah selesai dengan kali ini memperlihatkan minat yang tinggi dalam kalangan ahli untuk bertanding di peringkat tertinggi.

“Saya sudah selesai proses penamaan calon dalam pemilihan parti saya dan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih di sini hari ini.

Ditanya keyakinan beliau untuk mempertahankan jawatan itu memandangkan ramai calon berkaliber dilaporkan akan turut bertanding jawatan sama, Chang berkata beliau menjunjung prinsip demokrasi dalam parti dan amat mengalu-alukan perkembangan berkenaan.

"Saya rasa ini adalah satu perkembangan positif. Lebih ramai (ambil bahagian), lebih meriah. Ini menunjukkan ramai yang berminat untuk melibatkan diri dalam kepimpinan parti, saya rasa ini adalah sesuatu yang bagus," katanya.

Media hari ini melaporkan sembilan pemimpin sudah mengesahkan pencalonan setakat 11 malam tadi bagi perebutan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan