WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA LANCAR INISIATIF PERUMAHAN UNTUK WARTAWAN

07/05/2025 03:46 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan Indonesia melancarkan program perumahan bersubsidi di Bekasi, Jawa Barat bagi membantu kira-kira 70 peratus daripada 100,000 petugas media di negara itu yang bergelut mendapatkan kediaman mampu milik.

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara kementerian kerajaan dan sektor swasta bagi mengiktiraf sumbangan wartawan dalam memelihara demokrasi dan ketelusan awam, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Digital pada Rabu.

“Kita mengiktiraf bahawa wartawan yang telah mendedikasikan diri mereka kepada menegakkan kebenaran, juga berhak untuk menikmati kediaman yang selesa.

“Peranan kerajaan bukan sekadar menyelia, tetapi juga menjadi rakan yang prihatin terhadap kebajikan mereka,” kata Menteri Meutya Hafid, yang juga bekas wartawan ketika pelancaran program berkenaan.

Pada majlis itu, Meutya dan Menteri Perumahan dan Penempatan Maruarar Sirait secara simbolik menyerahkan kunci rumah bersubsidi kepada 78 wartawan dan lima petugas media di Perumahan Gran Harmoni di Cibitung, yang terletak lebih 40 kilometer dari pusat bandar Jakarta.

Majlis serupa turut diadakan di Medan, Palembang, Makassar, Manado dan Yogyakarta, dengan 10 wartawan di setiap lokasi menerima kunci rumah mereka.

Maruarar turut mengumumkan bahawa jumlah rumah bersubsidi untuk wartawan akan ditingkatkan daripada 1,000 kepada 2,000 unit, bergantung kepada permintaan.

Bagaimanapun, beberapa organisasi media termasuk Aliansi Jurnalis Independen (AJI), Ikatan Jurnalis Televisi Indonesia (IJTI) dan Pewarta Foto Indonesia (PFI) menyuarakan bantahan terhadap program itu.

Dalam kenyataan bersama pada 15 April, kumpulan itu mengakui keperluan terhadap perumahan, namun menegaskan bahawa wartawan seharusnya mendapat akses kepada subsidi melalui saluran awam sedia ada seperti rakyat lain.

“Jika kerajaan benar-benar mahu meningkatkan kebajikan wartawan, ia sepatutnya memastikan syarikat media mematuhi undang-undang buruh, termasuk memberikan gaji yang adil dan persekitaran kerja yang lebih baik,” kata Pengerusi AJI, Nani Afrida.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan