WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA LELAKI DIDAKWA EDAR HAMPIR 600KG DADAH DI SETIU

07/05/2025 01:40 PM

KUALA TERENGGANU, 7 Mei (Bernama) -- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin seberat 591.39 kilogram (kg) di sekitar Setiu, bulan lepas.

Pertuduhan terhadap Nik Khairil Shahruzie Nik Rozlan, 32, dan Muhamad Reduan Meor Hussin, 38, dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pertama dan kedua, kedua-dua lelaki berkenaan bersama seorang lagi yang masih bebas didapati  mengedar 480.38kg methamphetamine dan 109.89kg heroin di tebing Sungai Setiu, pada kira-kira 9 malam, pada 23 April lepas. 

Sementara itu, Muhamad Reduan turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar 1.02kg methamphetamine kira-kira 10 malam hari sama di tepi Pulau Tok Bilal, Sungai Setiu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar mengendalikan kes, manakala Nik Khairil Shahruzie diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Muhammad Izzat Hasizan, sementara peguam Syameer Haziq Shaharuddin mewakili Muhamad Reduan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Setiu.

Pada Isnin, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali memaklumkan polis menahan dua individu kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di Pantai Timur tahun ini, membabitkan rampasan hampir 600kg methamphetamine dan heroin bernilai RM25 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan