KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Lebih 10,000 peluang pekerjaan berprofil tinggi ditawarkan sempena Karnival Premium MYFutureJobs 2025, yang akan berlangsung selama dua hari mulai Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selaku penganjur karnival menerusi kenyataan memaklumkan karnival itu, menghimpunkan syarikat terkemuka negara dengan lebih 70 peratus jawatan yang ditawarkan berada dalam kategori eksekutif, menjadikannya platform strategik buat graduan dan profesional yang ingin mengembangkan kerjaya.
Perkeso memaklumkan antara majikan utama yang mengambil bahagian termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), CIMB, Petron Malaysia, Malaysia Aviation Group (MAG), PwC, KPMG, Deloitte, Proton serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Antara kelainan utama karnival versi premium ini ialah tawaran gaji bagi sesetengah jawatan yang boleh mencecah sehingga RM16,000 sebulan.
“Karnival premium ini direka khusus untuk mempertemukan bakat-bakat berkualiti dengan majikan terbaik negara, dan pencari kerja berpeluang menjalani temu duga dan menerima tawaran kerja serta-merta,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Karnival yang bermula dari 9 pagi hingga 5 petang itu, turut menawarkan pelbagai aktiviti sokongan seperti semakan resume secara individu oleh pakar industri, sesi Pocket Talk bersama tokoh industri seperti Mohd Nizam Ahamad (PakTam), Sharifah Hani Yasmin, Muhamad Fairuz Zainal Abidin, Lora serta Ku Sim Ling yang dikenali sebagai Aunty HR.
Selain itu, sebanyak 500 pengunjung terawal setiap hari juga berpeluang menerima kupon eksklusif ZUS Coffee, serta tambah nilai Touch ‘n Go bernilai RM20, selain cabutan bertuah dengan hadiah menarik.
“Penganjuran Karnival Premium MYFutureJobs, bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pekerjaan negara yang inklusif, responsif dan berdaya tahan,” menurut kenyataan Perkeso.
Pencari kerja dan graduan yang berminat disaran mendaftar di laman sesawang rasmi www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau memuat turun aplikasi MYFutureJobs bagi mengakses pelbagai peluang kerjaya dan kemudahan sepanjang karnival.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial