WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MINYAK SAWIT PEMACU UTAMA EKONOMI MALAYSIA, SUMBANG RM114 BILION EKSPORT PADA 2024 - DARE

05/05/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Sektor minyak sawit merupakan pemacu utama pembangunan ekonomi inklusif Malaysia dan kemampanan global, menjadikannya eksport pertanian negara paling bernilai, kata Pusat  Penyelidikan dan Maklumat Datametrics (DARE).

Dalam satu kenyataan hari ini, DARE berkata laporan bertajuk 'Memajukan Kemampanan dalam Industri Minyak Sawit Malaysia mendapati sektor itu menyumbang sebanyak RM114 bilion dalam nilai eksport dan RM38.05 bilion, mewakili 2.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024.

Laporan itu juga menyatakan bahawa 26.4 peratus daripada jumlah keluasan kawasan penanaman kelapa sawit Malaysia, kira-kira 1.48 juta hektar diuruskan oleh pekebun kecil, yang menyokong hampir 450,000 keluarga dan komuniti luar bandar.

"Sejak 2019, pengeluaran minyak sawit Malaysia tidak melebihi 19.85 juta tan, sebahagiannya disebabkan kawasan penanaman kelapa sawit menurun sebanyak 4.2 peratus (247,588) dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, disebabkan keputusan Malaysia untuk tidak meluaskan kawasan penanaman baharu bagi memberi keutamaan kepada isu alam sekitar," katanya. 

Pusat pemikir yang berpangkalan di Malaysia itu berkata analisisnya menunjukkan skim Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi pengukur penting bagi memastikan pengeluaran minyak sawit adalah sejajar dengan piawaian sosial dan alam sekitar antarabangsa.

Setakat Mac 2025, lebih 3.86 juta hektar ladang menerima pensijilan MSPO, termasuk hampir 645,000 hektar yang dikendalikan oleh pekebun kecil persendirian.

Pengarah Urusan DARE Pankaj Kumar menggesa agar terus melabur dalam MSPO, termasuk bantuan bersasar bagi membantu peladang-peladang kecil mematuhi piawaian pensijilan yang terkini.

"Kami menyarankan Malaysia lebih giat mempromosikan MSPO dalam dialog global, terutamanya sebagai piawaian yang dipercayai dan inklusif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Beliau berkata MSPO turut menyediakan kerangka kerja yang inklusif dan telus yang memperkasakan pekebun kecil serta memastikan pengeluar bertanggungjawab terhadap piawaian etika, alam sekitar, dan penjejakan.

“Ketika dunia memberi tumpuan kepada rantaian bekalan yang berkaitan dengan penyahhutanan, Malaysia pula harus lebih giat dalam menonjolkan kemajuannya.

"Piawaian MSPO 2.0, yang kini telah dikuatkuasakan sepenuhnya, memperkukuhkan keupayaan kita untuk memenuhi permintaan kemampanan global, terutamanya dari Kesatuan Eropah dan pasaran lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan