WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SINDIKET PENGEDARAN DADAH ANTARABANGSA TUMPAS, POLIS RAMPAS HAMPIR 600KG DADAH

05/05/2025 04:03 PM

BANDAR PERMAISURI, 5 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah rantaian antarabangsa terbesar di Pantai Timur tahun ini selepas merampas 590.18 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan heroin base bernilai RM25 juta dalam dua serbuan di sekitar Setiu pada 23 April lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata dadah berkenaan dibawa masuk melalui kawasan Golden Triangle dari Vietnam serta perairan Kelantan dan Terengganu, sebelum dibungkus semula di sekitar Setiu bagi penghantaran melalui jalan laut untuk pasaran Australia.

Beliau berkata serbuan pertama dibuat di tebing Sungai Setiu pada 9 malam yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dari Selangor yang sedang memunggah 29 beg dari sebuah bot ke tepi tebing sungai. 

"Pemeriksaan dalam beg pelbagai warna itu menemukan 470 bungkusan plastik disyaki berisi 479.27kg dadah jenis methamphetamine dan 297 ketulan heroin base seberat 109.89kg. 

"Serbuan kedua pada jarak 500 meter dari lokasi pertama iaitu di pesisir Pulau Tok Bilal pada 10 malam pula berjaya menahan seorang lelaki Terengganu berusia 39 tahun bersama sebuah beg galas di dalam bot fiber berisi sebungkus methamphetamine seberat 1.02kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini hari ini. 

Mat Zani berkata semua dadah berkenaan dibawa masuk oleh sindiket yang aktif sejak Mac lepas, menggunakan bot yang disewa kononnya untuk pakej memancing pada kadar RM4,800 ke lokasi tangkapan, untuk pembungkusan semula. 

"Ia kemudiannya akan dipindahkan ke sebuah kapal pesiar di sekitar perairan Terengganu sebelum dihantar ke Australia, yang dijangka boleh digunakan oleh 2.95 juta penagih," katanya.

Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati kedua-dua suspek menerima upah RM50,000 dari sindiket yang sama, dan kedua-duanya juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut menyita tiga kenderaan milik suspek iaitu jenis Toyota Vios, Honda Civic dan sebuah motosikal Honda EX5, barangan kemas, satu helmet jenama Shoei serta wang tunai RM1,631 dengan nilai keseluruhan RM46,000.

Mat Zani berkata kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula 24 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan