WILAYAH - TIMUR > BERITA

TIGA KEMENTERIAN PACU PROJEK JAMBATAN BAHARU MALAYSIA-THAILAND DI SUNGAI GOLOK - SAIFUDDIN NASUTION

04/05/2025 08:23 PM

PASIR MAS, 4 Mei (Bernama) -- Tiga kementerian utama kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek pembinaan jambatan baharu menghubungkan Malaysia dan Thailand khususnya di Sungai Golok, menggantikan jambatan lama yang telah beroperasi sejak 1973.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembinaan jambatan berkenaan melibatkan kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan selaras dengan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara.

“Setiap kementerian mempunyai peranan kritikal. KDN bertanggungjawab membangunkan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu. KKR meneliti aspek sambungan infrastruktur jalan dari jambatan ke kawasan Rantau Panjang, sama ada melalui laluan baharu atau penaiktarafan jalan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini hari ini.

Beliau berkata penglibatan Kementerian Pengangkutan pula susulan cadangan kerajaan Thailand untuk melanjutkan perkhidmatan kereta api dari Sungai Golok ke Rantau Panjang. 

“Pada masa sama, kerajaan Kelantan turut meminta agar stesen ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) dipanjangkan dari Tunjong ke Rantau Panjang bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan rel antara kedua-dua negara.

“Keseluruhan pelaksanaan projek ini memerlukan penyelarasan dasar di peringkat tertinggi antara ketiga-tiga kementerian. Di pihak KDN, fokus utama kami ketika ini ialah menyelesaikan isu pengambilan tanah yang terlibat bagi memastikan kelancaran projek,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KKR dalam proses memuktamadkan pelantikan kontraktor untuk bahagian Malaysia, manakala pihak Thailand juga sedang melaksanakan proses sama.

Pada 17 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerjanya di Bangkok menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra kerana merealisasikan projek pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok. 

Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor berkata projek pembinaan jambatan kedua dan menaik taraf jambatan sedia ada menghubungkan Rantau Panjang di Malaysia dan Sungai Kolok di Thailand, yang dibiayai bersama oleh kedua-dua negara, dijangka siap pada 2028.

Beliau berkata projek itu dengan anggaran kos RM40.54 juta merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 117.3 meter yang selari dengan jambatan sedia ada selain kerja-kerja menaik taraf menyeluruh kepada struktur asal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan