WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SIASAT KES KEHILANGAN WANITA SEBELUM SEMPAT HADIR KE PEJABAT SPRM

03/05/2025 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Polis sedang menyiasat kes seorang wanita berusia 42 tahun yang didakwa hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan itu di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada 3.02 petang hari yang sama.

Beliau berkata wanita yang dikenali sebagai Pamela Ling dijadualkan hadir memberi keterangan di SPRM mengenai satu siasatan yang sedang dijalankan dan ketidakhadirannya disahkan oleh pihak SPRM.

“Ini bukan kali pertama Ling hadir ke SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat oleh suruhanjaya terbabit. Beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakamkan keterangan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Rusdi berkata satu laporan polis juga telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan berkaitan kehilangan anak guamnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, keluarga mangsa menerusi kenyataan media memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Adik mangsa, Simon Ling Wan Siong berkata kakaknya telah menghantar pesanan WhatsApp kepada peguamnya pada 1.57 tengah hari mengatakan bahawa wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dan dijangka tiba pada 2.08 petang dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.

“Walaupun pelbagai cara dilakukan oleh keluarga dan peguamnya untuk menghubungi mangsa selepas 2 petang, panggilan telefon tidak dijawab dan pesanan WhatsApp tidak delivered.

“Grab Malaysia juga mengesahkan bahawa perjalanan terbabit telah ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh selepas itu,” katanya.

Wan Siong berkata sudah lebih 20 hari keberadaan Ling tidak diketahui dan pada masa sama memohon pihak polis untuk meningkatkan usaha serta melakukan apa sahaja yang perlu untuk menjejaki kakaknya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Wan Siong melalui talian 012-8866799 atau bapa mangsa Ling Kie Yii 012-8867979.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan