Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
(Mengemas kini headline dan memasukkan maklumat tambahan)
SINGAPURA, 4 Mei (Bernama) -- Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura berjaya mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Han Kok Juan bagi setiap bahagian pilihan raya dan disiarkan secara langsung di televisyen. Keputusan turut boleh diakses menerusi laman sesawang Jabatan Pilihan Raya (ELD).
PAP memperoleh kemenangan besar dengan 65.57 peratus undi popular, mencatat peningkatan lebih empat mata peratusan berbanding keputusan pada 2020.
Lima kerusi dimenangi tanpa bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Marine Parade–Braddell Heights pada hari penamaan calon.
Kemenangan bergaya ini mencerminkan mandat kukuh kepada Perdana Menteri sementara merangkap Setiausaha Agung PAP, Lawrence Wong, yang mengetuai parti itu dalam pilihan raya umum buat kali pertama.
Bercakap pada sidang media selepas keputusan diumumkan, Wong berkata beliau merasa terharu dan berterima kasih atas mandat yang diberikan, serta berjanji akan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira siapa yang mereka undi, dengan rasa penuh rendah hati dan tanggungjawab.
Beliau berkata keputusan ini akan meletakkan Singapura dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi ketidaktentuan dunia, terutamanya apabila semua anggota utama pasukannya turut berjaya dipilih.
“Ia satu isyarat yang jelas tentang kepercayaan, kestabilan dan keyakinan terhadap kerajaan anda. Tugas utama saya sekarang ialah membentuk Kabinet. Saya akan umumkan senarai Kabinet apabila sudah bersedia,” katanya.
PAP bertanding di kesemua 33 bahagian pilihan raya, merangkumi 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan 18 GRC.
Pada PRU2020, PAP memenangi 83 daripada 93 kerusi dengan 61.2 peratus undi.
PRU2025 merupakan pilihan raya umum ke-19 di Singapura dan yang ke-14 sejak negara itu merdeka pada 1965.
Pasukan Wong di GRC Marsiling-Yew Tee mempertahankan kerusi mereka dengan meraih 73.46 peratus undi, meningkat daripada 63.18 peratus yang diperoleh pada pilihan raya terdahulu.
“Ini pengalaman yang cukup merendah diri, dapat bekerja bersama dengan anda semua, berinteraksi dan berhubung dengan anda semua. Kami sekali lagi bersyukur atas mandat yang kuat ini dan kami akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” kata Wong kepada para penyokong di Stadium Yio Chu Kang selepas keputusan rasmi GRC beliau diumumkan.
Parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP), gagal mencatat sebarang kemenangan baharu namun berjaya mengekalkan 10 kerusi yang dimenangi pada PRU2020 – iaitu di SMC Hougang, GRC Sengkang dan GRC Aljunied.
Parti pembangkang lain termasuk Red Dot United, Parti Kemajuan Singapura, Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan, Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Kuasa Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Bersatu Singapura, Parti Rakyat Singapura dan Perikatan Demokratik Singapura menamatkan kempen masing-masing tanpa sebarang kemenangan.
Keputusan itu turut mengecewakan tokoh veteran pembangkang, Setiausaha Agung SDP Dr Chee Soon Juan yang juga merupakan sebahagian daripada landskap politik negara sejak 1992, setelah tewas kepada calon PAP Poh Li San di SMC Sembawang West yang baru diwujudkan.
Sementara itu, dua calon bebas di SMC Radin Mas dan SMC Mountbatten berjaya menyelamatkan deposit S$13,500 masing-masing selepas memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.
Keputusan akhir diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Han Kok Juan bagi GRC Tampines pada pukul 1.50 pagi Ahad (4 Mei).
Menurut ELD, sejumlah 2,429,281 undi telah dikira di seluruh negara setakat penutupan pusat pengundian PRU2025, termasuk 42,829 undi ditolak.
Jumlah ini mewakili 92.47 peratus daripada 2,627,026 pengundi berdaftar di semua bahagian pilihan raya yang ditandingi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial