WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ARAB SAUDI LARANG BAWA PENUMPANG KE TAPAK SUCI TANPA PERMIT HAJI

03/05/2025 05:18 PM

RIYADH, 3 Mei (Bernama-SPA) -- Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Arab Saudi (TGA) mengingatkan semua pengendali pengangkutan di seluruh negara, khususnya di Makkah, agar tidak membawa mana-mana penumpang ke Makkah atau Tapak-Tapak Suci tanpa permit haji atau permit masuk bagi tujuan bekerja atau menetap di Kota Suci itu.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bahawa peraturan baharu yang berkuat kuasa mulai bulan Zulkaedah 1446 Hijrah (29 April) itu merupakan sebahagian daripada langkah yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri untuk mengawal pergerakan orang ramai serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan jemaah.

Menurut peraturan berkenaan, individu yang didapati membawa pemegang visa pelawat ke Makkah dan Tapak-Tapak Suci, atau cuba berbuat demikian sebelum tamat bulan Zulhijah 1446 Hijrah, akan dikenakan tindakan dan denda sehingga SR100,000.

Hukuman turut merangkumi perampasan kenderaan darat yang digunakan untuk membawa individu dengan visa pelawat ke lokasi berkenaan, tertakluk kepada keputusan mahkamah yang berkaitan.

TGA menegaskan bahawa tindakan itu terpakai tanpa mengira sama ada kenderaan berkenaan dimiliki oleh pemandu, rakan subahat atau mana-mana pihak yang terlibat dalam kesalahan terbabit.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan