WILAYAH - UTARA > BERITA

PENGGUNAAN PENGHADANG JALAN RAYA BERDASARKAN JUSTIFIKASI TEKNIKAL

03/05/2025 04:15 PM

ARAU, 3 Mei (Bernama) -- Penggunaan jenis penghadang jalan raya di negara ini mengikut kesesuaian berdasarkan justifikasi teknikal di sesuatu kawasan untuk menentukan material yang sesuai digunakan bagi menjamin keselamatan pengguna. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata untuk itu pihak kementerian sentiasa peka mengenai material dan perkembangan teknologi terbaharu dari semasa ke semasa dan terdapat unit yang akan menguji sampel material itu sama ada sesuai digunakan atau sebaliknya.

"Apabila sesuatu material baharu diperkenalkan di pasaran kita, ambil sampel dan tengok adakah ia sesuai dengan negara kita, sebab negara kita elemen lain (contoh) hujan berlebihan, tidak semestinya bagus di negara lain, bagus juga di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek utama yang sedang giat dibangunkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini. Turut hadir Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Nanta berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada Kementerian Kerja Raya (KKR) mempunyai perancangan untuk menukar penghadang jalan raya konkrit ataupun besi kepada bahan menyerap hentakan untuk mengelak kes kemalangan maut.

Nanta berkata sebagai contoh, di lebuh raya Karak bagi kawasan bercerun mengguna pakai penghadang jalan jenis 'roller barrier' iaitu komponen komposit yang tidak keras namun ia tidak boleh digunakan di semua kawasan dengan ada kawasan terpaksa menggunakan penghadang konkrit.

Sementara itu, beliau berkata kementerian sebagai agensi pelaksana telah mengambil maklum arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping dan Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas.

"Projek-projek ini masih di peringkat Kementerian Pendidikan (sebab melibatkan sekolah), dan apabila tiba masanya (jika) dah dihantar kepada kami untuk kami susuli dengan tindakan sepatutnya sebagai pelaksana," katanya.

Dalam pada itu,  menerusi media diedarkan KKR, Nanta berkata terdapat tiga projek utama di UniMAP iaitu melibatkan Projek Pembinaan Masjid dan Pusat Islam UniMAP; Projek Pembinaan Dewan Besar UniMAP; dan Projek Pembinaan Pusat Pengajian Kejuruteraan UniMAP.

Nanta berkata projek pembinaan masjid dan pusat Islam itu dijadualkan siap pada Ogos nanti manakala dewan besar dijangka siap pada Julai ini dan pusat pengajian kejuruteraan dijadual siap Oktober 2026.          

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan