WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT SALUR LEBIH RM203 JUTA BAGI PROJEK PEMBANGUNAN, NAIK TARAF DI PAHANG

03/05/2025 03:33 PM

KUANTAN, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan lebih RM203 juta bagi pelbagai projek pembangunan dan naik taraf di Pahang pada tahun ini, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu antaranya disalurkan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan kediaman di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), dengan 782 unit rumah telah diperuntukkan untuk dibina tahun ini.

“Program RMR ini diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang, tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah RMR dan Program Bina Baharu Rumah di Bandar serta penyerahan replika cek peruntukan pembangunan serta perancangan Pahang di Kampung Cempaka di sini hari ini. 

Selain itu, Nga berkata peruntukan berkenaan turut disalurkan bagi pembinaan lapan projek kediaman di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) yang bernilai RM61.73 juta, yang akan dilaksanakan melalui Bahagian Perancangan Perumahan KPKT.

Beliau berkata bagi PRR kediaman bersifat bersepadu, kondusif, berdaya huni dengan kualiti komersial akan dibina di Kuantan, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Inderapura dan Bera. 

Nga berkata pelaksanaan projek antaranya pembinaan pusat perniagaan di Cameron Highlands, pembangunan Pekan Sentral di Pekan dan kerja-kerja selenggara cerun kementerian itu memperuntukkan RM21.13 juta, manakala RM23.61 juta pula untuk projek pengurusan sisa pepejal di daerah Kuantan, Lipis, Maran, Bentong, Cameron Highlands, Temerloh dan Pulau Tioman.

“Projek-projek ini dilaksanakan bagi memastikan penyediaan sistem pengurusan pepejal yang lestari dan mampan, bagi memastikan jaminan terhadap kesihatan awam serta pengurusan alam sekitar dan sumber alam yang terpelihara,” katanya.

Terdahulu, menerusi program Sentuhan Kasih KPKT di sini Nga meninjau projek menaik taraf Pasar Besar Awam Kuantan sebelum melawat Projek Menaik Taraf Kemudahan Taman Awam Tasik Lestasi Teluk Cempedak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan