WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAHMI UCAP TAHNIAH BERNAMA DIIKTIRAF MEDIA TERBAIK HARI PEKERJA 2025

01/05/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menerima pengiktirafan Media Terbaik (Agensi) sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kredibiliti Bernama sebagai agensi berita rasmi negara, malah mengharumkan nama Kementerian Komunikasi.

“Tahniah kepada Bernama. Teruskan usaha, teruskan bekerja,” katanya ketika ditemui Bernama selepas sambutan itu.

Terdahulu, anugerah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Bernama menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Anugerah yang julung kali diadakan itu antara dua kategori baharu diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Anugerah Media Terbaik (Agensi) sebagai mengiktiraf peranan cemerlang agensi media dalam penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan berintegriti kepada rakyat menerusi pelbagai platform berita.

Sebanyak 12 penerima anugerah tahun ini termasuk kategori baharu Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan Atasan) yang diberikan kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas. 

Hadir pada majlis sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan menteri-menteri Kabinet.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta ketua-ketua agensi.

Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, sambutan tahun ini menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting pekerja sebagai tulang belakang negara serta pelaksana utama aspirasi kemampanan, keadilan dan kesejahteraan.

Lebih 10,000 golongan pekerja daripada pelbagai sektor serta agensi awam dan swasta menghadiri majlis itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan