WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARIMAU KUMBANG MATI DILANGGAR PACUAN EMPAT RODA DI LPT2

01/05/2025 09:43 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Mei (Bernama) -- Seekor harimau kumbang mati selepas dirempuh kereta pacuan empat roda di Kilometer 387 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada pukul 1.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata siasatan mendapati kemalangan itu terjadi apabila haiwan liar berkenaan melintas secara tiba-tiba dari arah kanan ke kiri jalan.

“Siasatan mendapati kereta Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dalam perjalanan dari Kelantan ke Kemaman, Terengganu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, haiwan liar itu secara tiba-tiba melintas dan pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak. Haiwan itu mati di lokasi kejadian, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata bangkai haiwan berkenaan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui LPT2 dan mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan