WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA DESAK ICJ JELASKAN KEWAJIPAN ISRAEL DI WILAYAH PALESTIN YANG DIDUDUKI

29/04/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Malaysia menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan kenyataan yang jelas dan berwibawa mengenai kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi pendengaran awam di ICJ, The Hague pada Isnin (28 April), Malaysia tampil bukan sekadar sebagai negara anggota PBB, tetapi “sebagai suara yang menggemakan penderitaan sebuah bangsa yang hak, tempat tinggal dan masa depan mereka sedang dimusnahkan di hadapan mata dunia.”

"Namun, kami hadir untuk mendapatkan penjelasan mengenai kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan dan negara anggota PBB dalam konteks OPT.

“Kenyataan berwibawa Mahkamah berhubung kewajipan ini amat penting bagi membantu Perhimpunan Agung PBB dalam usahanya menamatkan situasi ini,” katanya semasa menyampaikan kenyataan Malaysia itu. 

Kenyataan tersebut dikongsikan kepada Bernama pada Selasa.

Prosiding pendengaran awam mengenai “Tanggungjawab Israel terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan antarabangsa lain, serta pihak ketiga di OPT" berlangsung dari 28 April hingga 2 Mei.

Ini merupakan penyertaan kali ketiga Malaysia dalam prosiding Pendapat Nasihat ICJ berkaitan Palestin, selepas penglibatan terdahulu pada 2004 dan 2024.

Azalina berkata situasi di OPT telah merosot dengan ketara sejak kemunculan terakhir Malaysia di ICJ pada Februari 2024, apabila Israel kini terlibat secara terbuka dalam pemindahan dan pemusnahan penduduk Palestin.

Beliau memetik kenyataan Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant dan Menteri Israel Katz yang menunjukkan sasaran terhadap penduduk awam di Gaza dan ancaman kemusnahan total sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan Israel tidak dipenuhi.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita menyaksikan serangan baharu terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, disertai kenyataan oleh pegawai Israel yang jelas menggambarkan niat Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin terhadap penentuan nasib sendiri.

“Mengugut penduduk awam dengan kemusnahan sekiranya mereka gagal mencapai matlamat yang tidak mampu dicapai oleh Israel sendiri jelas menunjukkan niat sebenar Israel,” tambahnya.

Azalina menegaskan bahawa meskipun ICJ sebelum ini telah mengeluarkan perintah langkah sementara dan Pendapat Nasihat pada 19 Julai 2024, Israel terus mengingkari kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau turut menekankan pendirian Malaysia bahawa Israel kekal tertakluk kepada rangkaian kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa sebagai kuasa pendudukan, termasuk memastikan penyediaan makanan, air, tempat tinggal, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi kepada penduduk awam.

“Sebaliknya, Israel secara konsisten telah merampas sumber OPT, memusnahkan infrastrukturnya, dan kini menggubal undang-undang untuk menamatkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), iaitu agensi PBB yang memikul tanggungjawab kemanusiaan sepenuhnya di wilayah itu,” katanya.

Azalina berhujah bahawa UNRWA berperanan sebagai pengganti kuasa pelindung di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan Israel “tidak mempunyai ruang untuk menamatkan operasi UNRWA secara unilateral tanpa menyediakan alternatif.”

Beliau turut menegaskan pelanggaran Israel terhadap kewajipannya sebagai negara anggota PBB, termasuk menggugat fungsi PBB serta melanggar kekebalan dan keistimewaan kakitangan dan harta PBB.

“Penggubalan dan pelaksanaan undang-undang yang bertujuan menamatkan operasi UNRWA bukan sahaja melanggar kewajipan Israel, malah menjejaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya.

Malaysia menegaskan bahawa tindakan terbaru Israel melanggar keempat-empat aspek hak untuk menentukan nasib sendiri seperti yang dikenal pasti oleh Mahkamah, iaitu integriti wilayah, integriti rakyat, kedaulatan kekal ke atas sumber asli, dan hak untuk menentukan hala tuju politik, ekonomi dan pembangunan budaya.

“Negara-negara melaksanakan kewajipan bukan sebagai retorik semata-mata, tetapi demi mencapai matlamat utama - iaitu melindungi rakyat daripada kepupusan dan mempertahankan hak mereka untuk menentukan masa depan sendiri,” kata Azalina.

Malaysia turut menggesa Mahkamah mengesahkan kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa dan membantu masyarakat antarabangsa menamatkan keadaan yang tidak sah di OPT.

Prosiding ini bertujuan mendapatkan pendapat penasihat berhubung tanggungjawab undang-undang Israel terhadap kehadiran dan tindakannya di wilayah tersebut, serta implikasinya terhadap PBB, organisasi antarabangsa dan negara ketiga, menurut kenyataan Kementerian Luar sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan