WILAYAH - TENGAH > BERITA

TEMPOH PENGAJARAN MODUL PEERS DITAMBAH MULAI KURIKULUM 2027 - FADHLINA

29/04/2025 07:33 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Tempoh pengajaran modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan ditambah bermula Kurikulum Persekolahan 2027 sebagai komitmen memperkasakan pelajar dengan ilmu berkaitan.

PEERS diajar menerusi kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran khususnya kecekapan psikososial untuk membuat keputusan termaklum (informed decisions) dalam kehidupan harian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif itu sebahagian daripada usaha advokasi berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi program Generasi MADANI dan pelbagai kempen kesedaran yang telah digerakkan di peringkat sekolah.

“…memang pendekatan kita, insya-Allah pada 2027 iaitu kurikulum baharu, kita akan menambah masa  untuk PEERS ini.

“Jadi akan ada tanggungjawab dan komitmen besar dari peringkat KPM untuk menambah masa (PEERS) dan untuk memberikan pendidikan pada anak-anak tentang isu ini,” katanya selepas merasmikan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ke-56 2024, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan berita sebuah portal berita pada 26 April lepas yang menyatakan kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah menunjukkan peningkatan dengan kebanyakan mereka dijangkiti menerusi aktiviti seksual.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF) Dr Zaiton Yahaya dilaporkan berkata kebanyakan mereka berusia 20 hingga 29 tahun iaitu antara 44 peratus golongan yang dikesan dijangkiti HIV.

Bagi pelajar sekolah berusia 13 hingga 19 tahun pula, empat peratus daripada mereka disahkan mendapat HIV dengan kebanyakannya akibat kegiatan seksual.

Dalam pada itu, mengenai kegagalan ramai calon bagi subjek Matematik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Fadhlina memaklumkan KPM akan melaksanakan intervensi bagi subjek yang mengalami penurunan termasuk Matematik.

“Sebagai contoh tahun lalu (SPM 2023) apabila Bahasa Melayu dan Sejarah menunjukkan penurunan, kita terus buat intervensi segera dan tahun ini keputusan itu menunjukkan intervensi itu berjaya khususnya untuk kedua-dua subjek itu,” katanya.

Dilaporkan seramai 84,025 calon SPM 2024 gagal subjek Matematik dan berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024, jumlah itu merangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon yang menduduki mata pelajaran berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan