WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JET PEJUANG TENTERA LAUT AS “HILANG” DI LAUT MERAH

29/04/2025 12:01 PM

WASHINGTON, 29 April (Bernama-dpa) -- Sebuah jet pejuang Jet F/A-18E Super Hornet Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dilaporkan "hilang" di Laut Merah selepas tergelincir dari kapal induk USS Harry S Truman, menurut Tentera Laut dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Semua kru disahkan selamat, dengan seorang kelasi mengalami kecederaan ringan.

"F/A-18E sedang ditunda di dalam ruang hangar apabila kru penunda hilang kawalan ke atas pesawat, menyebabkan pesawat dan traktor penunda terjatuh ke laut.

"Kru yang mengendalikan penundaan segera bertindak menjauhkan diri dari pesawat sebelum ia terjatuh ke laut. Siasatan sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.

Menurut Tentera Laut AS, sebuah jet pejuang F/A-18 bernilai kira-kira US$67 juta.

Pasukan AS ditempatkan di rantau berkenaan sebagai sebahagian daripada tindak balas terhadap penilaian keselamatan serantau.

Tentera Laut memaklumkan bahawa kumpulan serangan dan sayap udara yang ditempatkan di kapal induk berkenaan masih berkeupayaan penuh untuk melaksanakan misi walaupun insiden berlaku.

-- BERNAMA-dpa

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan