WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BOMBA BERJAYA KAWAL KEBAKARAN DI PELABUHAN UTAMA IRAN, ANGKA KORBAN MENINGKAT KEPADA 70

29/04/2025 11:53 AM

TEHRAN, 29 April (Bernama-Anadolu) -- Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran di Pelabuhan Shahid Rajaei, selatan Iran selepas kejadian letupan hujung minggu lalu meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Isnin.

Helikopter dan pesawat turut digunakan untuk membantu memadam kebakaran yang berlaku pada Sabtu.

Menurut kemas kini pegawai pengurusan krisis di Wilayah Hormozgan, angka korban akibat letupan dan kebakaran telah meningkat kepada 70 orang, manakala lebih 1,000 yang lain sedang menerima rawatan akibat kecederaan.

Jurucakap Pertubuhan Pengurusan Krisis Kebangsaan, Hassan Zafari, dipetik sebagai berkata operasi pemadaman yang berlangsung lebih 48 jam telah selesai dan kebakaran kini berjaya dikawal sepenuhnya.

Beliau berkata fokus kini beralih kepada operasi lain termasuk kerja-kerja pembersihan runtuhan dan usaha mencari mangsa, yang akan dikendalikan oleh pihak berkuasa wilayah.

"Walaupun operasi peringkat kebangsaan berakhir, tugas-tugas seperti pemindahan kontena yang terbakar, pemadaman kebakaran terpencil, pencarian mangsa yang cedera atau terkorban, pemeriksaan forensik serta kerja pembersihan runtuhan akan diteruskan dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hari lagi," katanya.

Menurut media tempatan, kebakaran tercetus di kawasan dermaga kontena pelabuhan sekitar 12 tengah hari waktu tempatan (0830GMT) Sabtu. Laporan awal menunjukkan terdapat bahan mudah terbakar berhampiran lokasi letupan.

Pelabuhan strategik itu terletak di selatan Wilayah Hormozgan, kira-kira 15 kilometer (9.32 batu) ke barat daya pelabuhan Bandar Abbas di pesisir utara Selat Hormuz.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian melawat Bandar Abbas pada Ahad untuk bertemu mangsa yang cedera di hospital, selain melakukan tinjauan udara ke atas kawasan pelabuhan bersama pegawai kanan dan mengarahkan siasatan terhadap punca insiden.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Ali Khamenei turut menggesa siasatan menyeluruh terhadap letupan itu.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai "sangat memilukan" dan menggesa pihak keselamatan serta perundangan untuk menjalankan siasatan penuh bagi mengesan sebarang kecuaian atau unsur sabotaj dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Sejak Sabtu, banyak negara menyatakan solidariti dan menawarkan bantuan kepada kerajaan Iran susulan kejadian itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan