WILAYAH - SELATAN > BERITA

PULAU KONET DIWARTA DALAM CADANGAN MEC - AB RAUF

29/04/2025 11:54 AM

MELAKA, 29 April (Bernama) -- Pulau Konet telah diwartakan dalam cadangan pembangunan Koridor Tenaga Negeri Melaka (MEC) yang bertujuan untuk membesarkan Kawasan Perindustrian Telok Gong, Alor Gajah.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata antara cadangan pembangunan di bawah MEC termasuklah pembangunan industri maritim, industri sokongan perkapalan, industri sokongan minyak dan gas, pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan infrastruktur lain bagi menyokong pertumbuhan industri.

"Ia melibatkan konsesi tambakan tanah di sekitar Pulau Konet seluas 202.34 hektar yang merupakan komponen utama kepada pembangunan MEC," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang ingin mengetahui perancangan pembangunan Pulau Konet di bawah MEC.

Terdahulu, Ab Rauf menjawab soalan Datuk Rosli Abdullan (BN-Kuala Linggi) berhubung sama ada terdapat cadangan untuk membangunkan Pulau Konet sebagai produk pelancongan bagi kawasan rekreasi laut dan pantai.

Menjawab soalan berkenaan, Ab Rauf berkata hasil pemantauan Jabatan Perikanan mendapati hanya terdapat sedikit terumbu karang dan tiada spesies ikan hiasan di kawasan berbatu tersebut selain tiada jarak pandangan ketika aktiviti menyelam berikutan dasar berlumpur.

Beliau berkata berdasarkan faktor tersebut, Pulau Konet tidak sesuai dijadikan kawasan pelancongan, walaupun memiliki keunikan iaitu boleh diakses dengan berjalan kaki sejauh 100 meter dari kaki pantai ketika air surut.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai pembinaan tugu kedaulatan di Pulau Konet, Ab Rauf berkata tugu tersebut telah dibina pada 7 Sept 2022 melibatkan kos RM80,000 sebagai simbol kehadiran dan pengawasan kerajaan di kawasan perairan negara.

“Tujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meletakkan tugu kedaulatan negara (di Pulau Konet) adalah untuk menegak dan menegaskan kedaulatan negara ke atas pulau-pulau milik negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan