WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMIMPIN PELAPIS PERLU BIJAK TANGANI MASYARAKAT TANPA PROTOKOL

18/04/2025 07:16 PM

MELAKA, 18 April (Bernama) -- Pemimpin pelapis perlu bijak dan berintegriti dalam menangani kewujudan masyarakat tanpa protokol atau non-protocol society, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata golongan berkenaan yang tidak mempunyai adab, belas kasihan dan sempadan protokol dalam melontarkan pandangan, kritikan serta pendapat dalam pelbagai platform media sosial menjadi antara cabaran perlu dihadapi pada masa ini.

"Penubuhan Dewan Belia Negeri Melaka adalah langkah strategik dan mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk melahirkan pemimpin pelapis yang inklusif, berpandangan jauh dan responsif terhadap perubahan.

"Paling utama wakil yang bakal menggalas amanah dan tanggungjawab ini, mampu membawa perubahan positif malah pencetus transformasi dalam perhubungan antara rakyat dan pentadbiran," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Speaker dan Ahli Dewan Belia Negeri Melaka Sesi 2024/2026 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. 

Pada majlis yang turut dihadiri barisan kepimpinan negeri, sebanyak 28 wakil dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lima wakil lantikan khas menerima watikah lantikan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata kerajaan negeri berharap suara belia tidak hanya bergema di dalam dewan sahaja, sebaliknya mampu menjadi pemain utama dalam mencorak masa depan Melaka.

"Kita berharap pada persidangan pertama DUN Belia Melaka yang dijadualkan Jun ini, akan memberi impak besar kepada pembangunan dasar berkaitan belia," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri komited dalam pembangunan belia dengan meluluskan 112 program pembangunan belia sepanjang 2024, berjumlah lebih RM300,000, manakala pada Belanjawan 2025 pula, hampir RM600,000 diperuntukkan khusus bagi program pemerkasaan belia termasuk latihan kepimpinan, pendedahan kepada sistem politik dan pemantapan advokasi komuniti. 

"Kerajaan negeri akan terus menyediakan sokongan, prasarana dan bimbingan yang diperlukan agar inisiatif belia dapat dijayakan dengan impak besar dan hasil berpanjangan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan