WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA BAWA CADANGAN PEWUJUDAN MAJLIS HALAL ASEAN

29/04/2025 08:48 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR,27 April (Bernama) -- Malaysia bercadang mewujudkan Majlis Halal ASEAN dan cadangan itu akan dibawa ke peringkat Sekretariat ASEAN untuk dimuktamadkan secara rasmi bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam industri halal serantau.

Pewujudan majlis halal itu juga akan memudahkan kemasukan produk halal di antara dua negara selain meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang kini masih belum mencapai potensi sebenar.

Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Khairul Azwan Harun berkata cadangan pewujudan Majlis Halal ASEAN dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menghadiri sesi meja bulat industri halal Malaysia-Indonesia di Jakarta dan juga pertemuan beliau dengan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka pada 22 April 2025 lepas.

Timbalan Perdana Menteri telah menyampaikan ucaptama di sesi meja bulat berkenaan yang turut di hadiri oleh Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia Ahmad Haikal Hassan.

“Majlis Halal ASEAN ini akan menjadi platform untuk memperkemas perdagangan pengembangan pasaran serta pengharmonian penggunaan logo halal, selain bakal memanfaatkan pasaran serantau yang mencecah hampir 700 juta penduduk,” katanya kepada Bernama.

Semasa persidangan tersebut, kedua-dua negara turut bercadang memudahkan kemasukan produk halal dengan pengiktirafan timbal balik sijil halal Malaysia dan Indonesia tanpa perlu melalui sebarang prosedur dan saringan tambahan.

“Langkah ini bukan hanya menjimatkan kos dan masa, malah dijangka memberi lonjakan kepada dagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mahu menembusi pasaran negara jiran yang memiliki lebih 240 juta penduduk Islam.

“Produk Malaysia yang mempunyai sijil halal yang di kawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh terus dipasarkan di Indonesia, begitu juga sebaliknya. Ini merupakan satu ‘game changer’ yang akan meningkatkan nilai eksport produk halal kita dengan kadar segera,” katanya.

Menurut Khairul Azwan, Malaysia dan Indonesia turut sepakat untuk mempelopori usaha meningkatkan perdagangan intra-ASEAN khususnya bagi produk halal, bagi memanfaatkan potensi pasaran halal serantau yang kini mencecah AS$1.3 trilion.

“Malaysia dan Indonesia berperanan sebagai pemangkin kepada usaha ini kerana kedua-duanya merupakan ekonomi Islam terbesar di rantau ini.

“Usaha memperkukuh dagangan halal antara negara ASEAN akan meletakkan ASEAN sebagai blok ekonomi halal yang berdaya saing,” katanya.

Khairul Azwan memberitahu, ketiga-tiga hasil strategik itu selari dengan kerangka Diplomasi Halal yang digariskan oleh kerajaan melalui HDC untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global.

Menurutnya lagi, pelaksanaan tiga inisiatif utama ini akan diperhalusi dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) pada 29 Mei ini, yang akan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid sebelum dimuktamadkan oleh Sekretariat ASEAN secara rasmi.

 

Diplomasi Halal

Menurut Khairul Azwan, konsep diplomasi halal yang diterajui Ahmad Zahid memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran Malaysia membangunkan ekosistem halal bersama negara-negara sahabat, khususnya di ASEAN.

Katanya Malaysia menerusi HDC mengambil pendekatan proaktif memperluas pengaruh industri halal ke pasaran bukan tradisional seperti Afrika Utara, Asia Tengah dan Asia Barat melalui strategi yang dinamakan ‘Diplomasi Halal’.

“Kita tidak boleh bergerak bersendirian. Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama sebagai satu entiti halal ASEAN untuk memenuhi permintaan pasaran global halal yang kini hanya mampu dipenuhi 20 peratus oleh semua negara pengeluar.

“HDC juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk mempercepatkan padanan perniagaan antara pemain industri halal Malaysia dan Indonesia — termasuk dalam bidang logistik halal, farmaseutikal serta pembangunan Halal Park,” tambahnya lagi.

Malaysia menyasarkan nilai eksport halal melebihi RM260 bilion menjelang 2030 dalam Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030), menerusi promosi enam sektor utama — makanan dan minuman, bahan ramuan, logistik, kosmetik dan nutraseutikal, peranti perubatan serta farmaseutikal.

 

Transformasi Digital Halal

Khairul Azwan berkata pemain industri diseru untuk lebih agresif dalam merealisasikan transformasi digital sistem halal, termasuk aspek pensijilan dan standard, bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam ekosistem halal global.

Katanya transformasi ini dilihat penting dalam memperkukuh kecekapan dan ketelusan rantaian bekalan halal, seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan pasaran yang semakin canggih.

Pendekatan berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) turut dianggap sebagai pemangkin utama dalam merevolusi sistem halal tempatan, melalui penggunaan teknologi seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT), tambah beliau.

“Transformasi digital bukan sahaja akan mempercepat proses pensijilan, malah meningkatkan keyakinan pengguna dan memudahkan pemantauan pematuhan standard halal di seluruh rantaian nilai.

“Malaysia, yang selama ini menjadi penanda aras dalam pembangunan industri halal global, kini berdepan cabaran untuk kekal relevan dalam era digitalisasi,” katanya.

Justeru, menurut Khairul Azwan, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemain industri dan penyelidik STI amat diperlukan bagi merealisasikan ekosistem halal digital yang mampan dan berdaya saing.

--- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan