GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam kes warga Australia Annapuranee Jenkins, atau Anna Jenkins, selepas mendapati tiada bukti konklusif bagi mengklasifikasikan kematian wanita itu sebagai pembunuhan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rofiah Mohamad yang mendapati punca kematian Anna tidak dapat dipastikan dengan tahap keyakinan tertinggi berdasarkan fakta dikemukakan dalam inkues berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata Timbalan Pendakwa Raya mempunyai budi bicara di bawah Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan arahan lanjut bagaimana siasatan perlu diteruskan khususnya di lokasi mayat mendiang ditemukan.
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa homisid adalah satu dakwaan serius yang perlu dipertimbang oleh koroner, walaupun mungkin terdapat penglibatan pihak lain ia tetap satu spekulasi.
“Keadaan tulang yang ditemukan memberi inferens munabasah wujud penglibatan orang lain tetapi ia tetap adalah satu spekulasi,” katanya ketika menyampaikan keputusan semakan semula terhadap keputusan terbuka Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Anak mendiang, Gregory Steven Jenkins, memfailkan permohonan itu bagi memohon mahkamah membuat keputusan bahawa ibunya meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kiri badan seperti yang ditentukan pihak berkuasa Australia berdasarkan ujian ke atas serpihan tulang mendiang sebelum dikebumikan.
Turut hadir pada prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong, peguam David Dev Peter mewakili Gregory dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke.
Mengulas lanjut, Rofiah berkata mahkamah turut mengambil kira bahawa siasatan awal hanya dijalankan dalam kerangka orang hilang dan bukan siasatan jenayah seperti kes penculikan atau pembunuhan selain menyifatkan situasi itu sebagai ‘amat malang’.
“Fakta (kes pembunuhan) hanya akan diperoleh dalam satu siasatan serius dan menyeluruh, adalah amat malang siasatan hanya dijalankan dalam kerangka orang hilang dan siasatan tidak pernah menjurus kes culik atau elemen jenayah-jenayah lain.
“Ini kerana apabila tulang belulang ditemukan di lokasi tidak terjangkau dan munasabah sepatutnya memberi satu petunjuk baharu wujudnya elemen jenayah bahawa mangsa bukan sekadar telah hilang tetapi meninggal dunia di satu lokasi yang amat janggal,” katanya.
“Mahkamah ingin membezakan kes ini dengan kes kematian Teoh Beng Hock dan Muhammad Adib (Mohd Kassim) bahawa tiada secebis bukti atau dapatan bagaimana si mati menemui ajal, mahkamah tiada pilihan selain mengekalkan keputusan terbuka,” katanya.
Di luar mahkamah, Gregory mengucapkan terima kasih kepada Hakim Mahkamah Tinggi itu kerana mempertimbang semua keterangan yang dikemukakan dan hujahan peguamnya.
Beliau berharap Timbalan Pendakwa Raya, setelah berunding dengan peguamnya, akan bersetuju membuka semula siasatan kes itu.
Pada 12 Mei 2023, Koroner Norsalha Hamzah ketika mengumumkan keputusannya berkata mahkamah mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap dikehendaki untuk merekodkan keputusan lain.
Beliau berkata berdasarkan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Koroner tidak dapat menentukan punca, sifat atau mencari sebarang unsur jenayah berkaitan kematian Anna.
Mayat Anna ditemukan pada 24 Jun 2020, hampir tiga tahun selepas kehilangan wanita itu secara tiba-tiba pada 2017 ketika bercuti di Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial