WILAYAH - UTARA > BERITA

KEPUTUSAN RASMI PRK AYER KUNING DIJANGKA 9 MALAM ESOK - SPR

25/04/2025 01:25 PM

TAPAH, 25 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan diperoleh sekitar 9 malam esok.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata bagaimanapun keputusan tidak rasmi mungkin diperoleh lebih awal.

“Sekiranya proses pengundian dan pengiraan undi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, keputusan rasmi dijangka dapat diumumkan dalam lingkungan waktu tersebut (sekitar 9 malam),” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan petugas SPR di pusat penjumlahan undi di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Beliau berkata proses pengundian DUN Ayer Kuning akan melibatkan sejumlah 601 petugas termasuk polis pengiring yang akan ditempatkan di 19 pusat mengundi.

Pada masa sama, Ikmalrudin turut mengingatkan 31,281 pengundi berdaftar supaya membawa MyKad bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Pengundi berdaftar disarankan untuk keluar awal berikutan keadaan cuaca agak tidak menentu,” katanya sambil mengingatkan mereka supaya tidak mengenakan pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti ketika hadir ke pusat pengundian.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan, sementara SPR mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos.

Sementara itu, beliau memaklumkan 33 laporan kesalahan kempen telah diterima setakat ini melibatkan kesalahan meletakkan bahan kempen seperti poster dan kain rentang di kawasan larangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan