WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UK SETUJU BANTU MALAYSIA DALAM BIDANG TEKNOLOGI, TENAGA BAHARU - FADILLAH

25/04/2025 10:20 PM

Daripada Salawaty Supardi

LONDON, 25 April (Bernama) -- United Kingdom (UK) bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk teknologi dan pengurusan tenaga baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perkara itu dinyatakan semasa kunjungan hormatnya terhadap Setiausaha Negara Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih UK, Ed Miliband di luar sesi pleno Sidang Kemuncak Mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House di sini, pada Selasa.

“Kita mahu mempelajari dari segi sistem dan cara mereka membuat pertukaran ataupun dagangan antara UK dan negara dalam rantau Eropah. Mereka telah bersetuju untuk bekerjasama dan kita akan meneliti serta mengambil tindakan susulan berdasarkan hasil perbincangan itu nanti di peringkat pegawai.

“Mereka akan memberikan kita maklumat terperinci mengenai pegawai, kementerian ataupun agensi yang terlibat dalam perbincangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pleno peringkat menteri sidang kemuncak itu di Lancaster House di sini, pada Jumaat.

Mengenai sesi pleno peringkat menteri itu, Fadillah berkata platform itu memberikan ruang kepada peserta untuk mengemukakan pandangan dalam menentukan hala tuju yang telah dirancang Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan UK terutama dalam keselamatan tenaga.

“Adakah kita hendak meneruskan (seperti sedia ada)? ataupun ada hala tuju yang perlu ditentukan untuk memastikan keselamatan tenaga menjadi agenda utama, dan cara kita hendak menentukan pelaksanaannya nanti supaya dapat menguntungkan (memberi manfaat kepada) semua negara," katanya.

Mengenai perkembangan sasaran tenaga boleh baharu Malaysia, Fadillah berkata kini sasaran itu berada pada kadar 28 peratus, justeru pelbagai langkah sedang diusahakan kerajaan untuk mencapai kadar 70 peratus menjelang 2050.

“Perkara yang kita fokuskan pada masa ini adalah tenaga solar sebab ia paling cepat kalau dibandingkan dengan turbin gas kerana mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk pembinaan dan sekarang kita ada program Solar Berskala Besar (LSS5) dan LSS6,” katanya.

LSS adalah program pembidaan kompetitif untuk menurunkan Penyamarataan Kos Tenaga (LCOE) bagi membangunkan loji fotovolta solar berskala besar (LSS) dan Suruhanjaya Tenaga ialah agensi pelaksana untuk rancangan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga memberi tumpuan kepada pendekatan penjimatan tenaga yang meliputi penggunaan material sesuai serta penekanan terhadap amalan baik oleh semua pihak seperti mematikan suis peralatan elektrik jika tidak digunakan.

“Boleh juga menggunakan sistem pintar, ini antara tumpuan kita di samping membekalkan tenaga, menambah baik talian penghantaran, serta menggalakkan penggunaan sistem yang lebih efisien.

“Langkah ini akan membantu memastikan negara kekal dari segi keterjaminan bekalan tenaga serta kemampuan membayar oleh pengguna, yang akhirnya kita juga dapat menjaga alam sekitar,” katanya.

Fadillah, yang tiba di sini pada Rabu sempena lawatan kerja selama tiga hari, kemudian menunaikan solat Jumaat di Malaysia Hall bersama-sama komuniti Islam sebelum bertemu diaspora Malaysia di UK dalam satu majlis di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, malam ini.

Esok, beliau dijadualkan melawat Blyth Offshore Windfarm di Newcastle, ladang angin pesisir pantai untuk meneroka potensi tenaga baharu yang boleh dimanfaatkan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan