IPOH, 24 April (Bernama) -- Memiliki perwatakan seorang tokoh seperti Negarawan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadikan Tun Ramli Ngah Talib layak dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan.
Perkara itu dinyatakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini yang pernah bekerja bersama Ramli kira-kira 40 tahun lepas dalam pelbagai peringkat dan bidang.
“Pada saya, beliau seorang yang mempunyai hati yang baik, bersih … saya melihat perkara itu sewaktu bekerja bersama beliau dan ketika bertugas dengan Allahyarham Tun Abdullah, ada persamaan. Beliau memiliki sifat insaniah dan kemanusiaan, ada banyak persamaan antara mereka.
“Beliau tidak suka cakap banyak, tidak suka mengata buruk tentang orang, tak suka dengar cerita buruk orang … barangkali latar belakang peguam yang menjadikan beliau kalau tak ada bukti jangan cakap apa-apa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Annuar berkata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu juga selalu menasihatinya tentang pelbagai perkara terutamanya melibatkan tingkah laku, nilai dan pendirian sebagai seorang pemimpin yang mentadbir sesebuah agensi atau institusi di negara ini.
Beliau berkata dari segi pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Perak pula, Ramli semasa memegang jawatan Menteri Besar melakukan pelbagai pembaharuan yang memberi impak besar kepada rakyat di negeri itu.
“Pembangunan infrastruktur di Pasir Salak misalnya, di jajahan kecil, iaitu Kampung Gajah sebelum itu kira-kira 30 tahun selepas merdeka tiada bekalan elektrik, namun selepas beliau dilantik menjadi Menteri Besar, daerah kecil itu dibangunkan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan.
“Selain itu, dalam pendidikan, sekolah perubatan yang sekarang ini menjadi fakulti perubatan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), beliau buat semasa saya bersamanya di Yayasan Perak, yang asal itu kita namakan Kolej Perubatan Diraja Perak,” katanya.
Terdahulu, Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 bagi tempoh empat tahun hingga 30 April 2029.
Ramli menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara hari ini.
Sementara itu, Abd Razak Mohd Ali, 62, berkata sewaktu bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia di Perak, Ramli merupakan seorang individu yang kurang bercakap, tetapi lebih kepada tindakan semasa menjadi Menteri Besar di negeri itu.
"Beliau sangat tegas walaupun dengan wartawan. Sekiranya tidak mahu menjawab sebarang soalan, beliau tidak akan menjawab pertanyaan itu.
"Bagaimanapun, apabila beliau ingin membantu rakyat, ia akan dilaksanakan dengan sepenuh hati, perkara ini saya lihat sendiri, malah diakui rakan-rakan beliau," katanya yang kini berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Astro Awani.
Abd Razak berkata sewaktu Ramli mengambil alih pimpinan di Perak, pada waktu itu ialah zaman peralihan industri dan kejatuhan harga bijih timah, namun apa yang dilaksanakan beliau adalah dengan memajukan kawasan kampung serta sektor pelancongan.
Seorang penduduk di Kampung Gajah Zam Mat Piah, 72, berkata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu sangat berjasa dalam membangunkan kawasan berkenaan dengan membuka Kompleks Sejarah Pasir Salak yang menjadi tumpuan pelancong sewaktu awal pembukaannya.
“Kompleks itu dibuka oleh beliau dan kesannya ialah penduduk kampung di sekitar ini mendapat limpahan ekonomi hasil kedatangan pelancong ke kawasan ini.
“Selain itu, terdapat juga dua kilang yang dibangunkan dan ia telah membuka peluang pekerjaan yang banyak terutamanya kepada penduduk setempat pada waktu itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial