SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Lima individu termasuk pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, dua minggu lepas.
Kerani D. Sasveena, 31, dan suaminya T. Boharaj, 32, serta Farhin Muhammad Ariffin, 23, P. Koshen Kumar, 21, dan P. Siveeshinaa, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Kesemua mereka yang mempunyai hubungan persaudaraan didakwa secara bersama menculik remaja berkenaan bagi menuntut wang tebusan berjumlah RM2 juta di hadapan sebuah salun rambut di Uptown Avenue, Seremban 2 di sini kira-kira 5.45 petang pada 10 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala peguam T Harpal Singh mewakili kelima-lima tertuduh.
Terdahulu Norazihah tidak menawarkan jaminan berikutan kes itu merupakan jenayah berat dan membabitkan keselamatan mangsa.
Harpal bagaimanapun meminta mahkamah membenarkan suatu tempoh diberikan untuk pihaknya memfailkan hujahan bertulis mitigasi rayuan jaminan.
Hakim Datin Surita Budin membenarkan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan 14 Mei untuk sebutan semula kes.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial