KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Lebih 500 pesakit luar telah menerima rawatan di Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di daerah Sagaing, Myanmar, susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
Panglima ATM Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata hospital berkenaan dijangka beroperasi selama sebulan namun tempoh itu boleh dilanjutkan sekiranya terdapat keperluan.
“Terdapat sedikit kelewatan untuk anggota berlepas (ke Myanmar) disebabkan tidak mendapat kebenaran diplomatik namun akhirnya kita memperolehinya dan anggota telah bertugas dengan selamat.
“Kita menghantar anggota untuk HMM ini sebagai langkah kerajaan membantu rakan dalam ASEAN lebih-lebih lagi Malaysia ialah Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata operasi HMM yang memasuki hari ketiga hari ini berjalan lancar dengan sokongan padu pihak Myanmar.
Beliau berkata setakat ini, HMM turut melaksanakan 13 pembedahan termasuk pembedahan ortopedik ke atas mangsa gempa bumi yang mengalami kecederaan patah tulang akibat bencana itu.
“Selain pakar-pakar yang kita hantar, pihak Myanmar juga membantu dengan menyediakan pakar perubatan, pakar sakit puan dan sebagainya termasuk sembilan penterjemah yang saya rasa merupakan satu perkara amat penting.
“Moral pegawai dan anggota kita di sana (Myanmar) amat baik walaupun dimaklumkan cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius,” katanya.
Pada 18 April lepas, Malaysia menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Starlight III sebagai usaha bantuan kemanusiaan pascabencana.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM 2025 hari ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial