WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAMANAN MOHON JKM BANGUNKAN PUSAT SIMPANAN BARANGAN KECEMASAN BANJIR

23/04/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R.Ramanan akan memohon kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membangunkan sebuah pusat simpanan barangan kecemasan sebagai persediaan membantu orang ramai dalam menghadapi kejadian banjir di kawasan parlimen berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata permohonan akan dikemukakan melalui Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bagi memudahkan dan mempercepatkan penyampaian barangan keperluan secara lebih efisien kepada rakyat. 

“Saya juga akan memohon dengan kerajaan Selangor untuk mempercepatkan Projek Tebatan Banjir dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh bagi membendung kejadian banjir di kawasan sekitar sini daripada terus berlarutan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau turut menyarankan mesyuarat penyelarasan bersama semua agensi berkaitan diadakan dalam masa terdekat bagi tujuan itu. 

Ramanan berkata lebih 100 rumah di sekitar Sungai Buloh, termasuk di Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Kubu Gajah, Taman Seri Alam serta beberapa lokasi berhampiran, terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat yang berpanjangan sejak semalam.

Beliau berkata setakat 1.20 tengah hari ini hampir 200 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan PPS Dewan MBSA Seri Pagi (26 keluarga); PPS Dewan Kenanga PDT Petaling (59 keluarga); PPS Dewan Bunga Matahari (22 keluarga) dan PPS SK Merbau Sempak (100 keluarga).

Ramanan yang turut meninjau keadaan di kawasan terjejas merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama pantas dan efektif dalam menangani kejadian itu, termasuk Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dan Cabang PKR Sungai Buloh dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk, ketua-ketua kampung serta agensi kerajaan berkaitan.

“Kami akan terus memantau situasi semasa dan memastikan semua langkah perlu diambil demi menjaga keselamatan dan kebajikan penduduk. Saya juga menyeru seluruh penduduk untuk terus peka dengan sebarang perkembangan dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” katanya.

Selain Sungai Buloh, beberapa daerah lain di Selangor yang turut dilanda banjir kilat ialah Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Dewan Seri Pagi Paya Jaras, Ramanan berkata pembinaan pusat penyimpanan barang kelengkapan itu di daerah Sungai Buloh penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mereka yang terkesan.

"Jika kita lihat kawasan terjejas banjir ini (Paya Jaras dan Kampung Kubu Gajah terletak di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam), sebab itu khemah untuk mangsa banjir di PPS di Dewan Seri Pagi Paya Jaras ini lambat sampai kerana perlu diambil dari stor di Shah Alam.

"Kita risau kalau contohnya, banjir berlaku pada waktu malam, barangan untuk mangsa akan lambat sampai kerana mungkin sesak atau banyak jalan ditutup, jadi kita mahu semasa kecemasan urusan ini dapat dilakukan segera," katanya. 

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata selain hujan lebat, limpahan air dari Sungai Gombak turut menjadi punca air sungai di kawasan itu naik dengan cepat serta menghakis ban di kawasan berkenaan.

"Pasukan saya akan pastikan kebajikan mereka dijaga, anggota sukarelawan akan diletakkan di kawasan banjir bagi membantu kerja-kerja membersihkan rumah terutamanya melibatkan rumah Orang Kurang Upaya dan warga emas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan