KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak boleh menaja pelajar yang sudah mendapat tajaan atau bantuan kewangan daripada agensi lain, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zulfikri Osman.
Beliau berkata semasa permohonan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) dibuka pada November tahun lepas, syarat berkenaan telah dinyatakan secara jelas dalam garis panduan permohonan sebagai satu daripada syarat utama penajaan MARA.
“Ia bukanlah syarat baharu tetapi telah ditetapkan sejak puluhan tahun dahulu. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berhajat membeli sebuah rumah baharu, dia tidak boleh menerima pembiayaan daripada dua bank yang berbeza.
“Begitulah juga halnya dengan pembiayaan pelajaran. MARA ingin memberi peluang kepada seramai pelajar Bumiputera yang tidak pernah menerima bantuan daripada penaja lain untuk mendapat bantuan pinjaman pelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) yang ditolak permohonan penajaan MARA disebabkan sudah menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sementara itu, Zulfikri berkata MARA sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti dan berdaya saing.
Beliau berkata sehingga kini MARA telah menaja 423 pelajar UNISHAMS sejak 1999, dengan 173 pelajar masih aktif ditaja dalam pelbagai bidang termasuk 144 pelajar perubatan.
Setakat 31 Mac lepas, sebanyak 4,510 pelajar Bumiputera dalam bidang perubatan di dalam negara sedang ditaja oleh MARA, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial