WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU HAK KEWANGAN WANITA B40 SELEPAS PERCERAIAN PERLU PENYELESAIAN PANTAS

23/04/2025 12:10 PM


From Balkish Awang

Perpisahan merupakan jalan terakhir buat mereka yang diuji dengan dugaan dalam rumah tangga.

Namun bagi wanita, khususnya wanita Islam, natijah perceraian tidak bernokhtah di situ kerana ada ketikanya hak-hak berkaitan kewangan yang sepatutnya diperoleh selepas runtuhnya perkahwinan, tidak dilunaskan oleh bekas suami.

Bukan semua, namun ada lelaki yang dengan mudah mengingkari tanggungjawab berkaitan nafkah bekas isteri dan anak-anak tanggungan, meskipun arahan telah dikeluarkan oleh Mahkmah Syariah. 

Realiti ini dikupas dalam forum anjuran Sisters in Islam (SIS) dengan kerjasama Merdeka Center dan IOI Foundation di sini baru-baru ini.

Bertajuk “Hak Kewangan Wanita Muslim Berpendapatan Rendah dalam Sistem Perundangan Keluarga Islam di Selangor dan Wilayah Persekutuan”, forum itu menyoroti hasil tinjauan yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan berkenaan.  

 

SUKAR BUAT TUNTUTAN

 

Antara isu utama yang terpaksa dihadapi wanita Islam daripada kumpulan berpendapatan rendah B40 dengan pasangan ialah nafkah, harta sepencarian dan hak kewangan mereka selepas perceraian.  

Kajian mendapati golongan ini berdepan cabaran besar untuk mendapatkan hak itu melalui sistem perundangan syariah di Malaysia disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kurang pengetahuan tentang hak mereka selepas perceraian, halangan birokrasi dan tekanan sosial yang mempengaruhi kemampuan mereka untuk menuntut hak tersebut di mahkamah. 

pic-2

Menurut Penyelidik Kanan Merdeka Center Nor Mariana Mohd Daud, berdasarkan kajian, ada dalam kalangan wanita terbabit turut mengalami gangguan emosi yang serius akibat ketidakstabilan kewangan dan berdepan kemurungan disebabkan oleh ketidakmampuan membayar komitmen kewangan.

"Seramai 124 responden terlibat dalam kajian ini, meliputi wanita golongan B40 yang menetap di Kuala Lumpur dan Selangor. Majoriti responden yang kami temu bual ialah daripada lingkungan umur 41 hingga 50 tahun serta mereka yang berusia bawah 30 tahun.

"Dari segi status perkahwinan semasa kajian ini dijalankan, ia melibatkan individu yang pernah bercerai dan sekarang memikul gelaran ibu tunggal. Sebanyak 81 peratus daripada ibu tunggal ini hanya memiliki pendapatan RM1,000 hingga RM2,000 bagi isi rumah," katanya, menambah kajian berkenaan dilaksanakan  dari Julai  hingga Ogos 2024.

Jelas Nor Mariana lagi, daripada 124 responden, sebanyak 51 peratus mengakui tidak membuat tuntutan di mahkamah atas beberapa alasan tertentu.

"Bagi wanita (responden) berpendapatan rendah ini, mereka tahu proses untuk membuat tuntutan itu mengambil masa yang panjang, membuatkan mereka tidak menuntut hak yang boleh diterima. Alasan kedua ialah tidak mempunyai kewangan yang mencukupi. Antara kes yang kami temukan, ada yang terpaksa meminjam wang daripada saudara mara hanya untuk membuka fail perceraian, Justeru, bayangkan pula beban kewangan mereka jika mahu membuka fail tuntutan lain.

"Ramai yang kami temui dan bertanya mengapa tidak buat tuntutan, mereka kata hendak buka satu fail tuntutan (di mahkamah) perlukan kos RM50. Bayangkan RM50 untuk golongan tertentu sangat besar nilainya dan mereka tidak mampu walaupun kaum wanita ini tahu mereka berhak menuntut hak kewangan dari sudut agama Islam," katanya.

Beliau berkata faktor lain yang menyebabkan sesetengah wanita tidak memperjuangkan haknya di muka pengadilan ialah ketiadaan bahan bukti.

“Ada wanita yang tidak pernah terfikir, apatah lagi berniat untuk berpisah selepas mendirikan rumah tangga. Justeru, mereka melayari bahtera perkahwinan tanpa menyimpan sebarang bukti kerana menyangkakan panas sampai ke petang,” katanya.      

Nor Mariana berkata sebanyak 49 peratus responden mengemukakan tuntutan hak kewangan di mahkamah demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.

 

KEKANGAN DAN CABARAN

 

Selain itu, kebanyakan wanita ini juga enggan dibebankan dengan proses rumit sekiranya mereka membuat tuntutan kewangan daripada bekas suami.

Mereka, kata Nor Mariana, tahu sekiranya tuntutan dibuat mereka perlu melalui proses perbicaraan yang panjang.

pic-4

Bagaimanapun tidak dapat disangkal ada sesetengah daripada rensponden gagal menuntut hak mereka di mahkamah disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang hal berkenaan.

Menurut Nor Mariana, kekangan lain ialah responden berdepan masalah perbelanjaan melebihi pendapatan, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan bulanan RM1,000.

"Namun begitu ada wanita yang pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 turut mengalami situasi perbelanjaan melebihi pendapatan. Ia meliputi perbelanjaan asas, umum serta keperluan lain yang perlu dibiayai responden. Apatah lagi kebanyakan perceraian berlaku semasa wanita berkenaan adalah seorang suri rumah dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan," katanya. 

Beliau berkata faktor lain yang memaksa kaum Hawa tidak mengemukakan tuntutan ialah tekanan daripada pihak luar termasuk bekas suami dan keluarganya.

"Malah, sesetengah responden turut menghadapi tekanan daripada keluarga sendiri dan rakan-rakan yang mempengaruhi keputusan mereka untuk tidak membuat tuntutan kewangan di mahkamah. 

"Mereka juga menghadapi stigma sosial seperti rasa malu dan rendah diri. Ketiadaan sistem sokongan daripada keluarga dan rakan menjadi punca wanita tidak meneruskan tuntutan hak mereka," katanya.

 

PERLU KERJASAMA TANGANI ISU

 

Sementara itu, Pengurus Komunikasi SIS Ameena Siddiqi berkata dapatan kajian berkenaan mendedahkan realiti pahit yang dialami oleh wanita Islam selepas mengharungi episod perceraian.

Justeru katanya, cabaran dan kekangan yang dilalui oleh golongan wanita berpendapatan rendah perlu ditangani melalui reformasi undang-undang yang lebih kukuh, mekanisme penguatkuasaan lebih tegas selain program sokongan yang mengutamakan kebajikan wanita serta anak-anak mereka.

"Kajian terbaharu ini menyingkap realiti, terutamanya bagi wanita Muslim yang bercerai. Kajian ini menunjukan bagaimana halangan yang dilalui mereka sekali gus memaksa mereka hidup dalam kemiskinan,” katanya.

pic-3

Beliau berkata dengan adanya dapatan kajian berkenaan, pihak berwajib tidak harus lagi berdiam diri, dan sebaliknya memulakan langkah pembaharuan termasuk melakukan penggubalan dasar selain berganding bahu sesama sendiri bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Antara cadangan SIS ialah kerajaan perlu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sokongan keluarga dengan mengadakan program yang disebarkan menerusi media, kerjasama dengan komuniti setempat dan  integrasi antara agensi agar bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu SIS turut berharap agar penyebaran maklumat awam tentang hak kewangan dan tuntutan nafkah ditambah baik, di samping menyediakan perkhidmatan undang-undang secara percuma sementara kos dalam penyediaan dokumen mahkamah pula dikurangkan bagi yang memerlukan. 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan