GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) -- Seorang penyelenggara penghawa dingin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga Indonesia dalam kejadian ragut yang tular di media sosial baru-baru ini.
A. Thines, 25, didakwa merompak sebuah beg milik Novita Badjo yang mengandungi wang tunai RM1,000, sebuah telefon bimbit, pasport dan kad kredit pada 4.30 petang di tepi jalan Jalan Kuala Kangsar, di sini, pada 17 April.
Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bukan satu kesalahan yang boleh dijamin, selain Thines juga berdepan satu lagi kes melibatkan jenayah curi yang sedang dibicarakan di Mahkamah Majistret Balik Pulau.
Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, Nor Nadia mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi kepada lelaki itu beserta syarat tambahan melapor diri setiap bulan di balai terdekat dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Thines yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan, memandangkan dia hanya berpendapatan RM1,600 sebulan dan isterinya sedang sarat mengandung.
Hakim Juraidah Abbas menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 28 Mei untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah klip video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang wanita sedang berjalan seorang diri telah diragut beg tangannya oleh seorang individu yang menunggang motosikal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial