DUNIA > BERITA

BEKAS WANITA PERTAMA SINGAPURA NOOR AISHAH MENINGGAL DUNIA PADA USIA 91 TAHUN

22/04/2025 05:13 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 22 April (Bernama) -- Bekas Wanita Pertama Singapura Noor Aishah Mohammad Salim, 91 tahun,  balu kepada presiden pertama negara Yusof Ishak, meninggal dunia pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Noor Aishah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 4.28 pagi.

"Perdana Menteri dan anggota Kabinet amat berdukacita dengan pemergian Noor Aishah Mohammad Salim, isteri Presiden pertama Singapura Yusof Ishak. Mereka mengucapkan takziah kepada keluarganya dalam masa yang sukar ini," katanya.

PMO turut memaklumkan bahawa kerajaan akan membantu menguruskan pengebumian sebagai penghargaan atas sumbangannya kepada negara.

Allahyarham akan dikebumikan pada Selasa di Tanah Perkuburan Negeri Kranji, bersebelahan pusara suaminya.

Sebagai tanda penghormatan, jenazah akan diberi penghormatan diusung menggunakan Pedati Meriam Upacara dari Masjid Ba’alwie ke Tanah Perkuburan Negara Kranji.

Noor Aishah merupakan tonggak sokongan kepada Allahyarham Presiden sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 1959 hingga 1970 - satu tempoh penting dalam sejarah Singapura yang menyaksikan cabaran membina negara.

“Beliau juga aktif dalam kerja amal dan memperjuangkan pelbagai inisiatif sosial, khususnya dalam membantu golongan wanita, kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik.

“Sifat lemah lembut, rendah diri dan dedikasinya yang tidak berbelah bahagi telah meraih penghormatan rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan masyarakat, dan terus menjadi inspirasi sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Bagi menghargai sumbangan Allahyarham, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan telah menganugerahkan Pingat Kehormatan Khas kepada beliau pada 1971 dan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura pada 2018.

Perdana Menteri Lawrence Wong turut merakamkan penghargaan kepada Allahyarham menerusi satu hantaran di Facebook, menyatakan bahawa sifat penyayang dan khidmat beliau telah menyentuh banyak kehidupan.

Beliau berkata, selain peranannya di Istana, Noor Aishah turut mencurahkan khidmat bakti dalam kerja kemasyarakatan menerusi pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura.

“Semoga legasi beliau terus memberi inspirasi kepada kita semua,” katanya.

Dilahirkan pada 21 Mei 1933 di Selangor, Noor Aishah membesar di Pulau Pinang.

Beliau berkahwin dengan Yusof, yang ketika itu merupakan pengasas dan pengarah urusan Utusan Melayu, pada 1949.

Pada 1959, ketika berusia 26 tahun, beliau menjadi Wanita Pertama Singapura apabila Yusof dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara dan kemudiannya menjadi Presiden pertama negara itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan